Nusa Fest kali ini hanya menampilkan Nidji dan Bunkface saja.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA pada 2023, Nusa Fest anjuran Shiraz Projects menampilkan 12 kumpulan muzik dari Malaysia, 11 dari Indonesia dan sebuah band dari Singapura, namun untuk edisi tahun ini jumlah artis dikurangkan menjadi dua kumpulan sahaja.

Ala, nanti tak havoc la Nusa Fest! Pasti itu yang terlintas di minda peminat setia acara Nusa Fest. Mesti ada sebab, kenapa Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim atau Shiraz hanya menampilkan dua kumpulan bagi menjayakan acara yang ditunggu-tunggu itu.

Kata Shiraz, edisi Nusa Fest kali ini iaitu Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface akan berlangsung di Megastar Arena Kuala Lumpur pada 21 Disember ini. Walaupun hanya dua kumpulan, namun Shiraz percaya penganjuran kali ini akan mencipta momen epik yang tidak akan dilupakan sebelum 2026 bertandang.

“Walaupun telah berkali-kali membuat persembahan di Malaysia, peminat Nidji tidak pernah melewatkan atau menolak kehadiran mereka.

“Energi yang dibawa Nidji sentiasa ‘besar’, membuat penganjur seperti Shiraz Projects teruja untuk melamar kugiran yang luar biasa ini membuat kolaborasi bersama Bunkface.

Bunkface mewakili Malaysia akan pastikan penonton yang hadir pulang dengan monen paling berharga.

“Dan selaku pemain industri, siapa yang boleh menidakkan kredibiliti Bunkface. Dengan karya berkualiti dan penampilan penuh energetik, Bunkface adalah kugiran Malaysia yang sudah membuktikan reputasi dalam banyak penganjuran sebelum ini.

“Jadi Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface akan menampilkan bukan sekadar persembahan tetapi momen epik yang tidak boleh diabaikan. Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface juga akan melakar sejarah, menjadi saksi dua kugiran dengan kelompok peminat silang budaya boleh menghormati dan menikmati muzik di bawah satu bumbung dengan harmoni,” katanya penuh yakin.

Nidji yang mewakili Indonesia akan terus menebarkan ‘Cinta dan Sumpah Matiku’ sementara Bunkface sebagai kugiran andalan Malaysia tentu menjadikan kolaborasi julung kali ini ‘Malam Ini Kita Punya’ seperti mana lagu popular mereka itu.

Bagi Sam, projek Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface yang bakal berlangsung di Megastar Kuala Lumpur pada 21 Disember 2025 membuktikan sinergi pemuzik Malaysia-Indonesia sentiasa mengalir dengan baik.

“Setelah mempertimbangkan dan memaklumi hakikat bahawa Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bukan sekadar sebuah persembahan pentas yang biasa, maka Bunkface bersetuju untuk terlibat dalam projek ini.

“Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface bukan sekadar tapak konsert, bukan sekadar naik pentas buat persembahan tetapi akan menjadi momen paling berharga buat peminat kami,” ujar Sam selaku vokalis Bunkface.

Nidji gembira dapat menjayakan persembahan bersama dengan Bunkface sahaja.

Selain Sam selaku penyanyi utama dan pemain gitar, Bunkface turut dianggotai oleh Paan (gitar/vokal), Youk (bass) dan Biak (dram).

Manakala kumpulan Nidji yang dianggotai oleh Yusuf Ubay (vokalis), Andi Ariel Harsya (gitar), Ramadhista Akbar (gitar), Andro Regantoro (bass), Randy Danistha (keyboard) dan Adri Prakarsa (dram) menyifatkan perkongsian pentas bersama Bunkface sebagai sebuah penghormatan besar buat mereka.

“Memang Nidji dan Bunkface pernah bermain dalam festival yang sama namun sepanggung hanya kami berdua adalah sebuah penghormatan buat kami.

“Selamat bersenang-senang bersama Nusa Fest Presents – Nidji x Bunkface nanti kerana hanya yang terbaik akan kami persembahkan buat dinikmati di Megastar Arena pada 21 Disember kelak,” ujar Ubay.

Bagi peminat Bunkface dan Nidji yang ingin menonton persembahan mereka boleh dapatkan tiket dengan harga dan kategori Rockzone (Standing) RM228, Diamond (Seated) RM198, Platinum (Seated) RM168 melalui www.ticket2u.com.my

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here