Lagu "Asing" dendangan Najmi Niery menjadi runut bunyi untuk drama "Hospital Loveline".

Oleh: Khadijah Ibrahim

NAMA Najmi Niery, 24, mungkin kedengaran baharu bagi sesetengah peminat muzik tanah air. Namun sebagai pendatang baharu, Najmi sudah pun menghasilkan lima single sejak 2022.

Single pertama Najmi berjudul “Dekati” (2022), diikuti dengan “Sebentar” (2023), “Hari Tua” (2024), “Memori Singkat” (2024) dan terbaharu, “Asing”.

Menariknya lagu “Asing” ciptaannya itu menjadi pilihan untuk diangkat sebagai OST atau runut bunyi drama “Hospital Loveline” arahan Ng Ken Kin yang telah bersiaran di Slot Akasia, TV3, baru-baru ini.

Najmi mengakui, saat dimaklumkan pihak pengurusannya mengenai berita tersebut, dia tidak dapat menyembunyikan rasa gembira dan terujanya. Lebih-lebih lagi ini adalah kali pertama dia terlibat sebagai penyanyi dan komposer untuk projek runut bunyi drama lakonan Syarul Ezani dan Scha Elinnea.

“Saya gembira dan teruja kerana ini adalah pengalaman pertama sepanjang terlibat dalam kerjaya seni nyanyian dan muzik. Alhamdulillah. Saya juga anggap ini adalah suatu penghormatan buat diri saya yang masih baharu bertatih di dalam industri muzik.
“Saya harap lagu ini ‘menjadi’ dengan keseluruhan jalan cerita serta garapan drama “Hospital Loveline”,” katanya lagi.

Menurut Najmi, dia sudah lama mencipta bahagian korus untuk lagu “Asing” tetapi lagu itu kemudian terperam selama dua tahun.

“Sebetulnya saya mahu berikan lagu ini kepada artis lain. Tidak kira artis Malaysia mahu pun Indonesia. Manalah tahu, mereka mahu dan sudi berkolaborasi dengan saya.

“Tapi saya tidak sangka pula TV3 Malaysia berminat untuk menjadikan lagu ini sebagai OST drama “Hospital Loveline” walaupun hanya dengan mendengar bahagian korusnya sahaja.

“Perkara itu pun saya ketahui sewaktu dimaklumkan pihak pengurusan saya. Sudah tentu saya setuju dan tanpa membuang waktu, saya terus menyiapkan baki lagu ini dengan bantuan dua rakan pemuzik saya.

“Kalau mengikut idea asal, lagu “Asing” ini sebenarnya mempunyai tempo yang lebih rancak lagi. Tapi, setelah mendapat tugasan untuk dijadikan sebagai lagu OST, kita cuba untuk jadikan lagu ini lebih relaks dan lebih santai lagi untuk disesuaikan dengan jalan ceritanya,” jelas Najmi.

Lagu “Asing” mengisahkan tentang seseorang yang tenggelam dalam kekeliruan setelah kehilangan insan tersayang yang selama ini sentiasa ada untuk melakukan sebahagian perkara yang menjadi rutin hidupnya.

Dahulu mereka berkongsi meja makan, kini kerusi itu kosong. Dahulu sama-sama bergelak ketawa, kini hanya sunyi yang berbicara. Kehilangan itu akhirnya menempatkan dirinya dalam ruang yang terasa begitu asing.

“Subjek ini saya ketengahkan kerana saya percaya ramai sahaja orang yang mereka berasa pelik atau janggal apabila hal-hal yang pernah dilakukan bersama dengan pasangan mereka sudah tidak dilakukan lagi.

Najmi teruja kerana karyanya menjadi pilihan produksi drama arahan Ng Ken Kin.

“Bayangkanlah kalau dulu kita buat semua benda sama-sama, makan bersama, borak bersama dan ketawa bersama, tapi semua itu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kenangan dan rasa janggal dan asing apabila kita hanya tinggal seorang diri.

“Itulah mesej yang cuba saya bawakan tapi pada waktu yang sama, saya juga ingin menyatakan bahawa rasa asing yang dirasai itu sebenarnya adalah suatu hal yang biasa dan normal,” jelasnya lagi.

Najmi yang mendapat jolokan ‘Afgan Malaysia’, mengakui bahawa “Asing” juga berbeza dengan single-single lain yang pernah dihasilkannya sebelum ini.

“Kalau dahulu lagu-lagu saya getarannya lebih kepada lagu yang perlahan dan galau tetapi kali ini saya cuba tampil dengan mood lagu yang lebih rancak tetapi ‘easy listening’.

“Ia adalah satu kelainan yang cuba saya bawakan kerana kali ini saya mahu pengikut atau pendengar muzik saya untuk menikmati sebuah lagu yang tenang, tidak ringan dan tidak juga berat serta berunsur akustik,” katanya yang turut tersenarai dalam kategori Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-37.

Bagi Najmi, pencalonan itu antara rezeki besar dalam perjalanan seninya kerana bukan semua orang dapat peluang sebegitu. Walaupun menyedari jumlah pengikutnya tidak seramai artis lain, namun Najmi tetap percaya rezeki itu datang daripada Allah dan sokongan peminat yang ikhlas.

“Asing” merupakan sebuah lagu hasil kerjasama dengan Alternate Records Sdn Bhd, Naj & Co, dan Malika Entertainment yang diedarkan oleh Universal Music Malaysia itu, boleh didengar di semua platform pelantar muzik digital di tanah air dan video visualizer rasminya boleh ditonton di saluran Najmi Niery atau menerusi pautan:
https://www.youtube.com/watch?v=fHbjlhXpdIo&list=RDfHbjlhXpdIo&start_radio=1

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here