Aisha Retno juga berkolaborasi dengan Ade Govinda menerusi lagu "Semoga Saja".

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEBELAKANGAN ini ramai penyanyi tempatan yang memilih untuk berkolaborasi dengan komposer dari Indonesia, Ade Govinda. Ade atau nama lengkapnya Ade Nurulianto, turut menjadi pilihan penyanyi Aisha Retno untuk single baharunya yang berjudul “Semoga Saja”.

Untuk lagu “Semoga Saja” ciptaan Ade itu, Aisha turut berkongsi ideanya bersama pemain gitar utama kumpulan Govinda itu untuk penghasilan lirik lagu tersebut.

Karya ini menggambarkan rasa kehilangan dan doa bagi seseorang yang telah pergi. Lagu ini juga menonjolkan sisi vokal Aisha yang lembut namun kuat, dibalut muzik dengan nada dan harmoni yang indah.

“Sejujurnya, lagu ini bersifat peribadi untuk saya kerana mewakili rasa kehilangan dan doa yang mungkin pernah dirasai ramai orang. Justeru, saya amat berharap agar pendengar dapat merasakan kejujuran dalam setiap nada dan memperoleh kekuatan dalam harapan yang tersisa dalam diri.

Lagu “Semoga Saja” dekat dengan diri Aisha Retno, dia turut menulis lirik bersama Ade Govinda.

“Ciptaan Ade kali ini berbeza kerana “Semoga Saja” menampilkan nuasan baharu dengan susunan tempo yang medium, namun tetap sarat dengan emosi berbanding ciptaannya sebelum ini yang kebanyakannya bernuansa pop balada,” jelas Aisha tentang kelainan yang ditonjolkan dalam lagu tersebut.

Aisha yang berjaya membuktikan kredibilitinya sebagai penyanyi serba boleh di showcase ‘The A.I.S.H.A Experience’ yang diadakan di Jio Space, Petaling Jaya pada 20 September lalu memberitahu, single tersebut dilancarkan bersama dengan video muzik rasmi yang diarahkan oleh Bagoes Tresna Adji.

Proses penggambaran telah berlangsung beberapa bulan lalu di Cottage Basisir Pole, Pantai Carita, Indonesia. Kisah visualnya memperlihatkan Aisha menyelami rasa yang masih menyimpan harapan akan kembalinya seseorang yang dicintai, sesuai dengan tema besar lagu tersebut.

Sementara Ade pula berharap, kolaborasi antaranya dengan Aisha tidak terhad kepada lagu tersebut sahaja, sebaliknya mereka akan terus bekerjasama pada masa akan datang.

“Semoga Saja” boleh dinikmati di seluruh platform muzik digital dan video muzik rasminya pula boleh disaksikan di saluran YouTube Ade Govinda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here