Oleh: Khadijah Ibrahim
STESEN televisyen pertama dari Bumi Kenyalang iaitu TV Sarawak (TVS) yang kini berkembang pesat di peringkat nasional, terus memperkukuh kedudukannya sebagai platform media dinamik.
Baru-baru ini TV Sarawak yang dilancarkan pada 2020, menganjurkan sidang media eksklusif “TVS Spotlight 25/26” bagi menuar-uarkan visi dan hala tuju TVS bagi tahun 2026.
Pada sidang media tersebut, TVS turut memperkenalkan rangkaian program baharu merangkumi drama, hiburan, dokumentari serta liputan acara sukan ikonik, di samping mempersembahkan pakej penajaan 360° yang direka khusus untuk klien dan rakan strategik.
Sejak beroperasi, TVS komited mengangkat identiti Borneo ke pentas nasional melalui kandungan yang meraikan budaya dan warisan tempatan, sambil memanfaatkan kekuatan penyiaran tradisional dan digital untuk menjangkau penonton di seluruh Malaysia dan serantau.
Sebagai stesen televisyen yang semakin berkembang di persada nasional, TVS menekankan objektif untuk memperkukuh visibiliti jenama dan menawarkan platform iklan serta penajaan yang lebih menyeluruh.

Pengerusi & Presiden TVS / Sarawak Media Group (SMG), Dato’ Norhyati Ismail berkata, matlamat utama pihaknya adalah untuk meningkatkan brand visibility TVS, terutamanya di pasaran nasional, serta memperkenalkan kandungan baharu yang segar untuk 2026.
“Melalui pengenalan program dan peluang penajaan ini, kami berharap dapat menarik lebih banyak lagi rakan kongsi yang baharu, sekali gus memperkukuh pengaruh TVS di peringkat serantau dan nasional.
“Fokus kami adalah untuk menjadi media yang memahami dinamik Borneo sambil menghubungkan penonton ke seluruh Malaysia dan seterusnya,” jelas Norhyati tentang hala tuju TVS.
Tambahnya, TVS akan terus memanfaatkan kekuatan penyiaran tradisional dan digital bagi memastikan capaian kandungan meluas dan berkesan.
Tahun 2026 dijangka menjadi fasa penting apabila TVS memperkenalkan Gerak Khas 2.0, di samping pelbagai drama tempatan, rancangan realiti, dokumentari dan liputan langsung acara sukan antarabangsa seperti Sukan SEA, perlawanan Harimau Malaya dan Piala Carabao.
Selain itu, katanya, TVS akan terus kekal sebagai saluran yang meraikan budaya, warisan dan identiti Borneo, sambil mengekalkan daya tarikan sejagat.
“Penceritaan tentang tradisi dan sejarah tempatan diterjemahkan melalui program seperti Sarawak Regatta dan Sambutan Perayaan Gawai, yang mampu menawan perhatian penonton di seluruh Malaysia serta rantau ASEAN.
“Melalui TVS, kami bukan sahaja meraikan warisan tempatan tetapi juga memperluaskan capaian agar jenama dan penonton di luar Sarawak dapat menikmati pengalaman yang unik,” tambahnya.

Menyedari kepelbagaian keperluan pengiklan, TVS memperkenalkan pakej penajaan menyeluruh (360°) yang merangkumi platform televisyen, digital, sosial serta papan iklan LED berimpak tinggi.
Kolaborasi bersama rakan media seperti Suara Sarawak, Sarawak Tribune dan Cats FM menjadikan TVS sebuah platform pengiklanan bersepadu.
“Jenama anda bukan sahaja akan dilihat di satu skrin, tetapi di setiap skrin, sama ada di rumah, dalam talian atau di jalan raya. Dengan gabungan kandungan serantau, capaian nasional dan visibiliti rentas sempadan, TVS menawarkan peluang untuk membina hubungan jenama yang kukuh di seluruh Malaysia,” tegas Norhyati.
Selain itu, TVS turut mengukuhkan ekosistem kreatif negara dengan memberi peluang luas kepada produksi tempatan dan bakat baharu. Sehingga kini, lebih 300 vendor tempatan telah bekerjasama dengan
TVS, mewujudkan lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk anak seni dan karyawan tempatan.
“TVS komited untuk terus mengembangkan industri kreatif tempatan dan industri pengiklanan, bagi memacu pertumbuhan sektor kreatif serta membina ekosistem media yang mampan di Malaysia.
“Kami yakin ‘TVS Spotlight 25/26’ ini akan membuka lembaran baharu kerjasama strategik bersama klien, penaja dan media untuk membina industri penyiaran yang inklusif, dinamik dan berimpak tinggi,” kata Norhyati lagi.
Dengan capaian yang semakin meluas melalui platform digital, TVS yakin mampu memperkukuh kedudukannya sebagai salah satu pemain utama industri penyiaran Malaysia.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









