Didie Shazry, juara 'Raise The Star Malaysia' tampil dengan lagu "Peganglah Hati" ciptaan Aina Abdul.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS program realiti Raise The Star Malaysia selesai, perjuangan kesemua finalis tidak terhenti di situ sahaja. Sebaliknya, kelima-lima mereka diberi peluang tampil dengan single masing-masing yang digubah oleh lima komposer ternama tanah air.

Lagu-lagu dendangan Didie Shazry yang muncul sebagai juara, Zuana (naib juara), Raymee (ketiga), Haris Fayahet (keempat) dan kelima, Keka yang dimuatkan dalam sebuah EP khas itu adalah lagu yang mereka persembahkan sewaktu final.

EP yangd diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment itu sekali gus membuka lembaran baharu buat perjalanan seni para peserta serta memperlihatkan kesinambungan usaha dalam melahirkan bintang generasi baharu industri muzik Malaysia.

Zuana, pemenang tempat kedua merakam lagu ciptaan Ajai, “Hantaran Cinta”.

Berbeza dengan pertandingan realiti lain, program ini memperkenalkan format tersendiri apabila setiap peserta akhir dibimbing oleh seorang komposer terkenal yang bukan sahaja menjadi mentor, malah turut menggubah lagu khas untuk mereka persembahkan di pentas akhir.

Antara nama besar yang terlibat adalah Ajai, Audi Mok, Aina Abdul, Shila Amzah, dan Ikhwan Fatanna yang merupakan figura penting dan menjadi tunjang kepada pelbagai karya hit tanah air.

Kerjasama eksklusif ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mendapat sentuhan peribadi daripada komposer terkenal, malah turut melahirkan karya-karya baharu yang segar dan relevan dengan trend semasa.

Lagu ciptaan Audi Mok untuk Rayme berjudul “Gergasi”, lagu pop yang menggabungkan elemen rock dan rap.

Bagi Didie Shazry yang berjaya memikat hati juri dan penonton menerusi lagu berentak balada syahdu iaitu “Peganglah Hati” cipta Aina Abdul itu, melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mempunyai lagu sendiri dalam tempoh yang singkat.

“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang menyanyikan lagu hasil ciptaan Aina Abdul yang begitu indah dan penuh jiwa. “Peganglah Hati” benar-benar dekat dengan diri saya dan saya harap ia juga dapat menyentuh perasaan semua pendengar. Bagi saya, susunan muzik lagu ini sangat istimewa kerana pada bahagian korus diselitkan elemen Nusantara,” kata Didie.

Bagi Zuana pula lagu yang dicipta oleh Ajai untuknya berjudul “Hantaran Cinta” yang menampilkan balada dreamy. Lagu ini menonjolkan kelembutan vokal serta gaya penyampaian emosionalnya yang penuh perasaan.

Hariz Fayahet menyanyikan lagu ciptaan Ikhwan Fatanna berjudul “Lara Bertahan” yang berentak balada.

“Sejujurnya, peluang menyanyikan lagu ciptaan Ajai adalah satu penghormatan besar buat saya. “Hantaran Cinta” begitu peribadi dan saya berharap ia menjadi lagu yang mampu mengiringi momen istimewa para pendengar,” kata Zuana.

Jika Didie dan Zuana, diberikan lagu berentak balada, Rayme pula dipertanggungjawabkan untuk menyanyikan lagu pop berjudul “Gergasi”, ciptaan Audi Mok, yang menggabungkan elemen rock dan rap, memberikan warna baharu kepada perjalanan seni Rayme.

“Saya ingin buktikan bahawa muzik pop boleh hadir dengan identiti yang berbeza. “Gergasi” adalah karya yang memberi saya ruang untuk menunjukkan sisi versatil dalam nyanyian saya,” kata Rayme.

Keka menyanyikan lagu ” Cinta Dusta” ciptaan Shila Amzah yang dimuat dalam EP khas terbitan Rocketfuel Entertainment.

Selain tiga lagu utama daripada pemenang, EP ini turut memuatkan “Lara Bertahan” nyanyian Hariz Fayahet hasil ciptaan Ikhwan Fatanna, sebuah balada penuh emosi yang menyentuh jiwa, serta “Cinta Dusta” nyanyian Keka ciptaan Shila Amzah, sebuah balada rock moden dengan sentuhan kontemporari.

Kesemua lima lagu ini mewakili pelbagai genre, nuansa dan identiti yang mampu memperkayakan warna muzik tempatan. Terbitnya EP khas ini, Rocketfuel Entertainment yakin karya-karya ini akan memperluaskan katalog muzik Malaysia sambil memperkenalkan bakat baharu ke persada arus perdana.

Secara tidak langsung menambah variasi pilihan buat pendengar dan terus mengukuhkan ekosistem muzik tanah air. Malah, kesemua lagu yang dipersembahkan di pentas akhir kini boleh didengarkan dalam versi konsert di saluran YouTube @RocketfFuelNetwork.

Manakala versi studio pula boleh didengar di semua platform digital utama seperti di Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan YouTube Music.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here