Oleh: Khadijah Ibrahim
RAMAI yang terkejut apabila dua pemuzik hebat dari kumpulan Wings pada 8 Oktober 2025, dalam satu kenyataan menyatakan mereka akan mengundurkan diri daripada kumpulan tersebut.
“Kami, Azmi Hassan atau dikenali sebagai Black Wings dan Samsaidi Ulong Idris atau Eddie Wings, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kumpulan Wings berkuatkuasa serta merta iaitu pada hari ini, Rabu 8 Oktober 2025.
“Dengan ini kami juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan terlibat dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan 24 Disember 2025 di Singapura nanti,” kenyataan yang dikeluarkan oleh Black dan Eddie yang merupakan tunjang utama kumpulan Wings.
Kumpulan Wings yang ditubuhkan pada 1985, sebelum ini pun sering bertukar ganti anggota. Sebelum Black, pemain dram dan Eddie (bass) mengumumkan pengunduran diri daripada kumpulan tersebut, gitaris Wings, iaitu Joe atau Abdul Zamin Abdul Kadir terlebih dahulu mengundur diri pada 2017.
Kini yang kekal dalam kumpulan Wings adalah Datuk Awie (vokal), Syam (gitar utama) dan Edrie (gitar irama). Meskipun hanya tinggal tiga anggota, Wings tetap akan meneruskan projek yang telah dirancang itu.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat Rumah Produksi Merah (RPM), Dato’ Eddy Amir Salim dalam satu kenyataan berkata, Konsert Wings 40: 4 Dekad Terbang Tinggi dijadual berlangsung pada 28 November 2025 di Idea Live Arena, Damansara, tetap diteruskan.
Katanya, konsert itu tetap berjalan lancar, sebagai tanda penghargaan terhadap empat dekad perjalanan seni kumpulan yang menjadi ikon muzik rock Malaysia sejak tahun 1985.
“Ulang tahun ke-40 ini bukan sekadar persembahan, ia adalah satu penghargaan kepada nama Wings yang telah menghiburkan peminat selama empat dekad.
“Kami ingin memastikan setiap penonton membawa pulang kenangan indah bersama lagu-lagu ikonik Wings. Tambahan pula, jualan tiket kini telah mencecah 90%, dan hanya sekitar 10% baki tiket masih tersedia untuk peminat yang belum membuat pembelian,” jelas Eddy, yang merupakan penganjur dan penerbit bersama konsert tersebut.
Tambahnya, semua persiapan berjalan lancar, dan para peminat boleh menjangkakan pengalaman konsert yang epik serta penuh nostalgia.
Rupa-rupanya tindakan yang diambil oleh Black dan Eddie itu bukan sahaja mengejutkan peminat Wings, malah Edrie Hashim, pemain gitar utama Wings juga terkejut dengan keputusan mereka.
Edrie dalam kenyataan kepada sebuah akhbar harian mendakwa, pengunduran dua anggota Wings itu ada kaitan dengan kemelut berpanjangan antara mereka dengan vokalis Wings.
Namun Edrie yang menyertai Wings pada 2018, enggan komen lebih kerana itu masalah mereka bertiga walaupun dia tahu apa yang berlaku.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









