Marsha tampil dengan video muzik "Tangisan Seorang Pendosa” .

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Marsha Milan Londoh, 40, yang memenangi Anugerah Juara Lagu edisi ke-39 menerusi lagu “Hening Rindu”, Februari lalu, kini tampil dengan video muzik “Tangisan Seorang Pendosa”.

Lagu “Tangisan Seorang Pendosa”, ciptaan Marsha dan lirik oleh Hazama itu merupakan runut bunyi untuk drama ‘Keluarga Itu’ yang disiarkan di TV3 sebelum ini.

Video muzik yang mengangkat tema keinsafan dan pergolakan jiwa yang begitu kuat dalam menempuh perjalanan hidup, ditayangkan sepenuhnya dalam visual dramatik hitam putih, melahirkan suasana melankolik yang penuh simbolik dan mendalam.

Jelas Marsha, “Tangisan Seorang Pendosa” bukan sekadar sebuah muzik video untuk ditonton, tetapi sebuah pengalaman emosi yang menghubungkan penonton dengan roh sebenar lagunya.

“Bagi saya, “Tangisan Seorang Pendosa” bukan sekadar sebuah karya, tetapi sebuah perjalanan yang benar-benar dekat dengan hati saya. Ada babak yang sukar kerana saya sendiri perlu melawan ketakutan, tetapi akhirnya semua itu membantu saya menyampaikan rasa lagu ini dengan lebih jujur. Saya harap penonton juga dapat merasainya,” katanya.

Pulau Pinang dipilih sebagai lokasi untuk penggambaran video muzik tersebut kerana di situ terdapat bangunan bersejarah bagi melambangkan memori masa lalu. Manakala, babak di pelabuhan pula menzahirkan suasana masa hadapan, melengkapkan kesinambungan naratif visual.

Lagu “Tangisan Seorang Pendosa” adalah runut bunyi untuk drama ‘Keluarga Itu’.

Menurut pengarah dan penerbit produksi 71 Studios, Izuan Mokhtar, pilihan lokasi di Pulau Pinang memberi ruang untuk visual yang lebih puitis serta sarat nilai estetika.

Kata Izuan, kolaborasi antaranya bersama Marsha dan pengarah fotografi Mad Nor Kassim melahirkan karya visual yang berjiwa, di mana setiap elemen diperlihatkan dengan penuh teliti bagi menyampaikan sebuah kisah emosi yang jauh daripada sekadar jalan cerita linear.

“Sejak awal lagi, saya dan Marsha sepakat untuk menghasilkan sesuatu yang lebih daripada sekadar muzik video. Kami mahu visual yang puitis, simbolik, dan mampu membuat penonton benar-benar merasai roh lagu “Tangisan Seorang Pendosa”.

“Kami mahu penonton bukan sekadar melihat, tetapi turut merasakan apa yang cuba diterjemahkan melalui lensa kamera. Sepanjang penggambaran, cabaran cuaca, cahaya dan lokasi bersejarah menjadikan pengalaman ini lebih bermakna,” katanya.

Akuinya, perjalanan menghasilkan muzik video ini tidak terlepas daripada cabaran. Rakaman malam di bangunan warisan menuntut kawalan pencahayaan yang rapi, sementara faktor cuaca turut memaksa kru menghentikan penggambaran beberapa kali.

Kongsinya lagi, babak di pelabuhan juga harus dilaksanakan dalam tempoh singkat demi menangkap cahaya semula jadi yang sempurna.

“Antara momen paling tidak boleh dilupakkan adalah sewaktu penggambaran di Raffles Lighthouse, apabila Marsha terpaksa mengatasi ketakutan terhadap ketinggian. Walaupun gugup, dia tetap berdiri dengan penuh emosi dan menyampaikan nyanyian yang meresap jiwa.

“Keseluruhan muzik video ini diperkaya dengan elemen hitam putih yang memberi nuansa abadi, gaya serba hitam Marsha yang menambahkan misteri serta drama, dan peralihan lokasi yang melambangkan perjalanan masa lalu serta masa depan,” jelas Izuan.

Video muzik “Tangisan Seorang Pendosa” boleh ditonton di saluran
YouTube rasmi Alternate Records & Talents.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here