Oleh: Khadijah Ibrahim
BAPA pengantin perempuan, Othman Abdul Kadir sewaktu berucap di majlis resepsi anak kesayangannya, memohon maaf kerana untuk menghadiri acara tersebut tetamu perlu RSVP terlebih dahulu.
Jelasnya, beliau sekeluarga bukan sengaja menyusahkan tetamu (rakan-rakannya yang warga emas) tapi untuk memudahkan pihak pengurusan majlis menyusun atur kedudukan tetamu yang hadir.
Pada majlis resepsi Amira Othman, 32, dan Fattah Amin, 35, yang berlangsung di Persada Convention Centre, Johor Bahru pada 11 Oktober lalu, kira-kira 2,000 tetamu hadir dan majlis terpaksa dipecahkan kepada sesi pertama di sebelah pagi dan sesi kedua, di sebelah petang.
“Pada tetamu semua, saya minta maaf banyak-banyak kalau proses jemputan ini merumitkan, maklumlah zaman IT. Ada juga yang marah saya sebab untuk follow up bagi RSVP.

“Ada juga yang bising tanya, kenapa dia dan sepupunya tak sama sesi? Ada juga yang nak semeja dengan kawannya. Ada juga nak tukar sesi sebab nak sama dengan jiran. Saya jawab kepada mereka semua, aku ni suntuk masa untuk fikir hal semua, sebab senarai tamu berjela-jela.
“Oleh kerana beratus-ratus orang nak minta duduk semeja dan untuk tidak mengecewakan mereka, hari ini saya penuhi permintaan semua. Saya buat tempat duduk terbuka,” katanya dengan nada berseloroh sewaktu berucap mengalu kedatangan tetamu.
Pada majlis tersebut juga, Othman sempat memberi pesanan dan nasihat kepada menantu dan anak keduanya, Nadia Amira yang diijab kabul pada 14 September lalu di Sepang, Selangor.
Katanya, perkahwinan ini adalah satu perjalanan yang amat jauh, destinasi memang sama tapi laluan dan ranjau itu pasti berbeza.
“Kepada Fatah, abah nak pesan, sebagai ketua Fatah kena sentiasa kuat dan sabar. Memang banyak dugaan, kalau Fatah rasa pahit, sakit, sedih jangan takut, kita semua pun dah rasa. Kehidupan memang berwarna, ianya mematangkan kita.
“Kepada anakku Amira, abah sentiasa mendoakan Mira juga harus kuat dan sabar. Kalau ada tak puas hati, simpan dulu sampai esok pagi. Buat kopi, bagi suami, lepas tu luahkan rasa hati. Sengketa pasti tak jadi.
“Insya-Allah jodoh kita kekal abadi. Ingat ini, masa kita panas hati sentiasa ada iblis di sisi untuk jadi batu api. Sebab itu kena simpan esok hari, iblis pun angkat kaki. Masa tu sengketa pasti tak jadi,” katanya dalam ucapan sambil ditemani oleh isteri, Nora Haryati Arshad dan anak-anak yang lain.

Tambah Othman lagi, sesebuah rumah tangga itu akan kekal abadi kalau banyak toleransi. Beliau juga percaya Fatah mampu menjaga anak kesayangannya dengan baik.
“Untuk Fatah, Amira telah kami jaga dengan penuh kasih sayang dan tanggungjawab yang kami mampu dan sentiasa berdoa agar dia menjadi insan yang baik dan berguna. Jika ada yang tak sempurna, Fatah sempurnakanlah, tunjuk ajarlah dengan penuh kasih sayang dan penuh peradaban.
“Ingat pesan abah, biar kita miskin harta janji kaya budi bahasa. Seperti ayah-ayah yang lain, nak melepaskan anak mesti macam-macam rasa, gembira, hiba dan macam-macam lagi yang tak terkata. Cuma mampu berdoa agar tangan yang menerima itu adalah lebih baik dari tangan yang melepaskan. Selebihnya kita hanya mampu berserah kepada Allah,” katanya lagi.
Sementara itu, Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, turut melahirkan rasa terujanya kerana dapat berkumpul dengan keluarga baharu dan sahabat handai.
“Hari ini kita dapat berhimpun bersama-sama di majlis resepsi. Saya nak ucapkan terima kepada keluarga Mira yang sudi menerima kedatangan saya dan keluarga seadanya. Disambut meriah dengan kehadiran saudara mara dekat dan jauh serta kawan-kawan sama-sama mendoakan kami.
“Teruskan doa yang baik-baik untuk kami dan doakan semoga perkahwinan kami disulami dengan kasih sayang, sakinah, mawaddah dan warahmah, insya-Allah,” ucapnya dari atas pelamin.
Bagi Amira pula, asalnya dia mahu majlis resepinya dihadiri kira-kira 500 tetamu sahaja tapi permintaannya itu ditolak oleh abahnya dan akhirnya dianggarkan 2,000 tetamu hadir yang dipisahkan kepada sesi pertama dan kedua. Di sesi petang itu juga, Indah Ruhila memenuhi permintaan Amira untuk menghibur tetamu yang hadir.
“Terima kasih semua kerana sanggup datang dari jauh untuk merai hari special saya bersama Fatah. Saya mohon terus doakan saya dan Fatah. Jemputlah menjamu selera, esok-esok barulah diet,” katanya yang turut mendendangkan lagu “Rindu Bayangan” dan “Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta” secara spontan bersama adik-adiknya, Ifran Haris dan Haikal Iskandar dengan petikan piano oleh Othman.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









