Oleh: Khadijah Ibrahim
SIAPA sangka, semuanya bermula dari platform TikTok selepas Daniesh Suffian dan Bella Astillah sering menyanyikan lagu-lagu penyanyi lain atas permintaan peminat jika mereka ‘live’ bersama.
Daniesh yang popular dengan lagu “Terabadi” dan “Pilihlah Aku” yang juga juga seorang komposer serta pelakon, berkata, peminat mencadangkan agar dia dan Bella berkolaborasi dalam sebuah lagu baharu.
Untuk tidak menghampakan permintaan netizen dan sebagai tanda penghargaan kepada peminat yang menyokong kolaborasi mereka, maka lahirlah single “Akhirnya Kamu”.
“Sebelum ini kami banyak buat cover lagu, jadi ramai yang minta kami keluarkan lagu bersama. Dari situ, idea ‘Akhirnya Kamu’ mula berkembang,” jelas Daniesh.
Tambahnya lagi, dalam salah satu sesi siaran langsung di TikTok, Daniesh berkongsi bahawa lagu ini ditulis ketika Bella melalui detik paling sukar dalam hidupnya.
Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Bella dan Daniesh bersama Azlan Abu Hassan dan Omar K yang turut memainkan peranan penting dalam menghasilkan karya yang indah dan penuh emosi ini.

Daniesh menjelaskan bahawa tujuan utama penulisan lagu ini adalah untuk memberi semangat, sokongan, dan sedikit keceriaan buat Bella agar terus kuat menghadapi segala cabaran yang datang.
Bagi Daniesh, pengalaman menghasilkan muzik video untuk lagu ini juga sangat bermakna.
“Rakaman video muzik (MV) ini sangat menyeronokkan, extras yang sporting, lokasi cantik, shot pun menjadi, dan team production sangat profesional. Semua itu buat hasil akhir melebihi jangkaan saya.
“MV lagu ini mengisahkan dua individu yang pernah terluka dan menutup pintu hati selepas pengalaman cinta lalu. Namun, pertemuan pertama mereka kali ini menghadirkan rasa yang berbeza, seolah-olah inilah cinta sebenar yang mereka cari selama ini.
“Akhirnya Kamu” bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga simbol kekuatan, harapan dan penghargaan terhadap perjalanan hidup. Ia menggambarkan bahawa setiap luka dan kesabaran akan akhirnya membawa kepada sinar yang dinanti,” jelasnya tentang maksud di sebalik lirik lagu tersebut.
Bagi Bella Astillah pula, lagu “Akhirnya Kamu” mempunyai makna yang sangat mendalam pada dirinya kerana lagu ini membawa tema kesabaran dalam kehidupan.
“Lagu ini memberi impak besar dalam hidup saya kerana seolah-olah sebahagian diri saya dizahirkan melalui lagu ini. Ia juga menjadi lagu manis saya sendiri, sebagai tanda penghargaan buat peminat yang sering minta saya bawakan lagu yang membahagiakan.
“Daniesh memahami suara dan cita rasa saya. Kami bekerjasama secara profesional untuk memastikan hasil akhirnya terbaik, dan kami sangat berpuas hati dengan keputusan akhir.
“Hidup tidak selamanya sedih. Sama ada sesuatu itu datang cepat atau lambat, sebab itu kesabaran sangat penting. Kebahagiaan akan bermula apabila kita percaya setiap ujian adalah cara untuk jadikan kita lebih kuat dan membuka ruang kepada orang yang betul untuk hadir dalam hidup kita,” jelas Bella tentang proses rakaman dan kerjasama dengan Daniesh.
Kali ini, Bella mengambil langkah untuk keluar daripada zon selesanya. Meskipun dia lebih dikenali menerusi lagu-lagu yang penuh emosi, lagu ini membawa kelainan.
“Kebiasaannya saya nyanyi lagu yang fierce, tapi ramai peminat minta lagu yang happy dan sweet. Jadi lagu ini memang saya tujukan untuk mereka,” katanya teruja.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









