Bakal menjayakan Showcase Jiwa Malaysia bersama rakan-rakan artis lain pada 1 November ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KUMPULAN Floor 88, merupakan antara artis yang bakal menjayakan Showcase Jiwa Malaysia 2025 di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil pada 1 November 2025.

Lain-lain artis yang bakal beraksi di acara anjuran Regnant Works dan disokong oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) adalah kumpulan Sixth Sense, Def Gab C, Kugiran Masdo, Baby Shima dan Alpha.

Dewan Sri Putra yang telah melalui proses naik taraf menyeluruh kini sesuai menganjurkan pelbagai acara, termasuklah showcase seni dan konsert yang boleh menampung kira-kira 3,000 penonton bergantung pada set pentas.

Bagi Floor 88 yang dianggotai oleh Ayie Elham (vokalis), Achoi (gitar), Falique (bass), Eric Fuzi (keyboard), Akram (dram) dan Amir (gitar kedua) peluang yang diberi akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

“Untuk show ini mungkin kami akan bawa tiga atau empat lagu, tapi bergantung juga kepada durasi yang ditetapkan oleh penganjur. Kalau setiap artis diberi masa setengah jam, bolehlah nyanyi hingga enam atau tujuh lagu.

“Pastinya kami akan bawakan satu persembahan menarik dan memberi semangat dan kegembiraan kepada semua yang menonton pada malam itu, insya-Allah. Antara lagu yang bakal dipersembahkan nanti adalah “Hutang”, “Zalikha”, “Kong Kali Kong” tapi kita nak buat kelainan sikit.

“Biasanya kalau konsert free dan berbayar ni kena ada satu kelainan yang berbeza.Memandangkan ini konsert berbayar, mungkin ada lagu-lagu yang orang tahu tapi jarang kami bawakan di konsert-konsert percuma. Kami akan bawakan dalam konsert ini dengan arrangement yang baharu.

“Konsert berbayar lagi istimewa kerana penonton mengeluarkan duit untuk membeli tiket. Yang datang pun berbayar, jadi kita kena hidangkan sebuah persembahan yang setara debgab wang penonton,” kata Ayie.

Floor 88 mendapat perhatian ramai kerana lagu “F” yang penuh dengan mesej itu.

Tatkala ditanya, tidakkah Floor 88 yang ditubuhkan pada 2007 teringin untuk menjayaka konsert solo tanpa bergabung dengan artis lain.

“Setiap anak seni mempunyai impian untuk mengadakan konsert sendiri. Floor 88 memang menyimpan hasrat nak buat konsert solo berskala besar. Niat tu ada mungkin disebabkan kekangan masa masing-masing dan sekarang ini pun kami baru keluarkan single baharu “F” dan masih dalam progress promosi dan ada jemputan persembahan.

“Untuk kami nak merancangkan satu konsert yang betul-betul konsert belum lagi tapi insya-Allah kami akan adakanlah, tapi tak tahu bila. Selalunya kalau genap 10 tahun secara rasmi dalam industri mesti nak buat konsert solo sendiri. Kami tahun depan genap 10 tahun dan mungkin ada perancangan itu juga,” kata Acoi yang banyak mencipta lagu untuk Floor 88.

Tambah Acoi, untuk beberapa tahun ini Floor 88 lebih senang mengambil sikap bersabar dulu dan tunggu waktu yang sesuai barulah menjayakan konsert solo atau keluarkan lagu baharu.

“Kalau bab single baharu, siapa yang tak nak keluarkan lagu selalu supaya nampak produktif kerana sekarang ini bukan zaman terbitkan album. Kalau kira-kira balik dulu, orang mengambil masa setahun dua untuk keluar album.

“Kami pun mengambil masa juga untuk keluarkan karya baharu kerana kita tengok juga dari segi bisnes. Kalau dari segi bisnes selagi lagu itu diputarkan dan diterima, lagu lain kita simpan dulu.

“Selalu kalau kita keluar lagu, dan ia tak capai KPI atau pun tak diputarkan di radio barulah kita buat lagu baharu. Macam sekarang ini lagu “F” alhamdulillah, radio main dan jemputan persembahan untuk dua bulan ni boleh dikatakan penuh,” katanya.

Video muzik lagu “F” ciptaan Zai Hamzah atau Acoi itu sejak dimuat naik di YouTube Rusa Music, dua bulan lalu telah mendapat tontonan sebanyak 711K.

Menurut Eric pula, hingga hujung tahun ini jadual Floor 88 padat dan di waktu yang sama, mereka juga sedang membuat persiapan untuk merakam lagu raya.

“Tahun depan raya makin awal, jadi kita kena buat persiapan dari sekarang kerana prosesnya agak lama dan lagu akan keluar serentak dengan video muzik. Bulan puasa baru umumkan, judul apa.

“Kita buat awal sebab dah penat buat video muzik dalam bulan puasa. Lagu raya kita akan ikut acuan Floor 88, cuma dari segi tajuk dan cerita berbeza. Untuk lagu raya semua menyanyi sebab tu kena ambil masa sebab nak ajar vokal lagi,” katanya.

Bagi Ayie pula, walaupun sering ditawar menjayakan persembahan secara solo, namun dia lebih selesa kalau tampil di pentas bersama anggota Floor 88.

“Sebenarnya, banyak juga saya tolak tawaran kalau tak diundang bersama geng. Kalau dapat tawaran seorang saya akan cuba push band juga. Kalau pergi seorang saya kena kongsi dengan mereka juga, jadi baik semua pergi.

“Macam saya sendiri pun nak jaga juga ukhuwah antara kami. Setiap kali show kalau jumpa artis lama, kita akan tanya macam mana nak jaga band punya hubungan. Ramai yang kata, sebab duit boleh bergaduh. Sebelum ini kita dengar banyak orang keluar masuk dalam band, saya tak nak benda itu berlaku kepada kami. Jadi saya belajar daripada kesilapan orang lain untuk memperbaiki diri kita sendiri,” akuinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here