Konsert bagi menyemarakkan keberanian, kasih sayang dan perpaduan dalam menentang budaya buli.

Oleh: Khadijah Ibrahim

KEBELAKANGAN ini kes buli terutamanya di sekolah semakin menjadi-jadi. Kes buli di sekolah kendalian Kementerian Pendidikan (KPM) meningkat dalam tempoh tiga tahun sejak 2022, dengan lebih 70 peratus daripadanya dilapor berlaku di sekolah menengah.

Statistik Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) KPM merekodkan 3,883 kes buli pada 2022, melonjak kepada 6,528 kes pada 2023 dan terus meningkat kepada 7,681 kes tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sekolah menengah mencatat kes tertinggi iaitu 3,064 kes pada 2022, 5,418 kes (2023) dan 5,689 kes (2024). Kes buli di sekolah rendah turut meningkat daripada 819 kes pada 2022 kepada 1,110 kes (2023) dan 1,992 kes (2024).

Peningkatan berterusan itu memberi isyarat jelas isu buli bukan lagi kes terpencil, sebaliknya memerlukan campur tangan serius di peringkat dasar dan pelaksanaan.

Kes sebegini tidak boleh dipandang ringan kerana boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak, malah memberi kesan jangka panjang terhadap perkembangan emosi serta masa depan mereka.

Ramli Sarip, antara yang terlibat dalam Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025.

Justeru itu, Nusavue (www.nusavue.my) selaku penganjur Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 menghimpunkan suara-suara hebat tanah air bagi menyemarakkan keberanian, kasih sayang dan perpaduan dalam menentang budaya buli di semua peringkat masyarakat.

Konsert ini akan berlangsung pada 7 Disember 2025 (Ahad), jam 8 malam, di Zepp Kuala Lumpur, menampilkan barisan artis tempatan terkenal dari pelbagai genre bersatu di bawah satu misi: “Berani Bersuara, Bersama KITA.”

Lebih daripada sekadar hiburan, Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025 yang menampilkan barisan artis seperti Datuk Ramli Sarip x Cradle Band, Alpha, Bella Astillah, Nadeera, Wani Kayrie dan Liza Aziz (Undangan Khas) mahu menjadikan muzik sebagai medium perubahan sosial.

Gabungan nama-nama ini melambangkan perpaduan rentas generasi dan genre, membuktikan bahawa seni mampu menjadi jambatan untuk menyatukan rakyat Malaysia dalam perjuangan menentang buli.

Melalui gabungan persembahan berimpak tinggi, mesej berinspirasi dan pengisian interaktif, konsert ini berfokus untuk membangkitkan kesedaran, keyakinan diri dan empati dalam kalangan masyarakat khususnya pelajar, keluarga dan komuniti.

“Buli bukan sekadar masalah sekolah tetapi ia juga cerminan masyarakat. Kita mahu rakyat Malaysia bangkit bersama dan bersuara,” kata wakil Nusavue, penganjur Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025.

Liza Aziz, merupakan penyanyi undangan khas untuk memeriahkan konsert tersebut.

Tambahnya, fenomena buli hari ini tidak lagi terbatas kepada individu atau sekolah semata-mata. Ia turut wujud dalam bentuk skala yang lebih besar melibatkan bangsa, komuniti, dan juga negara. Dari dunia maya hingga ke pentas antarabangsa, kuasa sering disalah guna untuk menindas yang lemah.

Melalui Konsert KITA – Suara Anti Buli 2025, Nusavue menyeru rakyat Malaysia untuk menyedari bahawa menentang buli bermakna menentang kezaliman dalam apa jua bentuk sama ada di rumah, di sekolah, mahupun di dunia luar.

Inilah semangat “KITA” suara yang melindungi, bukan menindas. Melalui kekuatan seni dan suara, KITA membawa mesej bahawa perubahan bermula apabila kita berani bersuara.

Untuk menonton konsert ini tiket-tiket yang berharga dari RM198, RM238, RM268, RM328, RM468, RM478 dan RM528, boleh dibeli di www.myticketempire.com (Ticket Empire) atau www.nusavue.my

Antara organisasi yang menyokong inisiatif ini termasuk Yayasan Ikhlas, Fakulti Komunikasi & Pengajian Media UiTM Shah Alam, SULAM (Service Learning Malaysia-University for Society): DOKPANIC Special Edition, selain turut mendapat kerjasama Gempak, AQA, Right Balance Private, La Denta dan Mic Bocor sebagai rakan podcast rasmi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here