Impian Raes Arifin untuk memiliki lagu sendiri tergapai menerusi "Jalan Cinta".

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENDATANG baharu dalam bidang seni suara, Raes Arifin melahirkan rasa syukur kerana impian untuk mempunyai lagu sendiri telah dicapai menerusi syarikat Shiha Zikir Empire (SZE).

Raes yang memulakan cabaran sebagai anak seni menerusi program Gimme The Mic 2024, sebelum itu telah dipilih untuk bernaung di bawah SZE menerusi pencarian SZ Talent Discover.

Jelas Raes, Shiha Zikir selaku pemilik syarikat SZE dan gurunya telah bekerja keras untuk memastikan dia mendapat hasil yang terbaik dalam pelancaran lagu pertamanya itu.

“Kepada pihak SZE terutamanya Shiha, sebenarnya tiada kata-kata yang dapat diungkapkan untuk saya berterima kasih terhadap kalian. Bermula dengan pencarian SZ Talent Discover kemudian ke rancangan realiti nyanyian Gimme The Mic Malaysia, sehinggalah hari ini dengan lagu “Jalan Cinta”.

“Semuanya telah dilakukan dengan sehabis baik untuk membentuk seorang Raes Arifin. Dari sekecil- kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya, SZE sentiasa ada dan memberikan apa yang saya perlu untuk menjadi penyanyi yang berkualiti. Terima kasih banyak- banyak,” katanya.

Menyentuh mengenai pembikinan single pertamanya itu, kata Raes, dia memberikan sepenuh kepercayaan kepada label SZE untuk memberikan yang terbaik untuk dirinya.

“Saya beri sepenuh kepercayaan kepada Shiha dan label Shiha Zikir Empire untuk mencari dan menentukan lagu yang sesuai dengan suara dan cara nyanyian saya. Difahamkan, sampai berpuluh-puluh lagu juga dicari sehingga menemukan lagu “Jalan Cinta” ini.

Raes harap single pertamanya itu mendapat perhatian ramai.

“Sesiapa yang mengenali Shiha, dia memang kelihatan happy-go lucky tetapi apabila masuk hal pemilihan lagu, apatah lagi lagu pertama untuk saya, sisi diri dia berubah sepenuhnya menjadi serius dan fokus demi mendapatkan hasil yang terbaik.

“Setelah itu, saya diberi waktu untuk mendengar dan mengolah lagu itu mengikut cara saya sendiri di bawah bimbingan Shiha. Alhamdulillah, lagu ini tidak mengambil masa yang lama untuk dirakam, sekitar 40 minit ke sejam sahaja,” kata Raes yang tidak lupa untuk berterima kasih kepada pihak SZE terutamanya Shiha kerana banyak membantu dan memberi peluang terhadap dirinya.

Tambahnya, “Jalan Cinta” lagu hasil kerjasama SZE dan Sony Music Malaysia itu, berkisar tentang kisah cinta dan sesuai dikaitkan dengan kisah peribadi ramai orang.

“Lagu “Jalan Cinta” adalah tentang seorang pencinta yang memberikan segalanya, mencintai sepenuhnya tetapi tiba-tiba takdir tidak memihak kepada mereka. Namun jauh di sudut hati, pencinta ini masih mengharapkan yang mereka dapat bersama semula. Tanpa
disangka, jalan cinta yang disangka menuju ke arah yang sama menjadi dua jalan berbeza apabila si dia telah memilih orang lain.

“Secara umumnya lagu ini memang boleh dikaitkan dengan kisah-kisah berlainan setiap orang, namun untuk saya sendiri, cinta saya adalah ‘nyanyian’ dan cinta ini telah menjadi sebahagian daripada hidup saya. Cinta ini jugalah yang menjadi jalan menyelamatkan saya daripada buli, anxiety disorder, dan daripada segala ujian yang hampir mematahkan semangat saya sebelum ini.

“Dalam lagu ini ada rangkap “dan aku merayu, jalan cinta ini tak berakhir dulu..”, seperti itulah saya berharap agar suara saya ini terus ada dalam hidup saya kerana dengan suara inilah saya bangkit semula dan percaya yang semuanya akan baik- baik saja dengan izin-Nya,” akuinya.

Raes berharap lagu ciptaan dan lirik oleh Darien Sebastian, Naki Zainal serta Shazriq Azman itu diterima baik oleh ramai pendengar. Manakala video muzik yang diarah oleh Shiha dan Arul itu juga turut disukai ramai.

“Memandangkan ini lagu pertama saya, saya harap ia berjaya membuatkan saya menembusi industri muzik tanah air sekali gus menjadi jambatan antara saya dan kelab peminat saya iaitu ‘sunRaes’, mereka sentiasa ada dengan saya sejak awal pembabitan hinggalah sekarang,” katanya yang boleh diikuti menerusi Instagram: @raesarifin dan TikTok: @raes.arifin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here