Giliran UNIC pula untuk mengadakan konsert pada 20 Disember ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS kejayaan kumpulan Inteam mengadakan konsert berskala besar baru-baru ini di Idea Live Arena, Damansara, ramai yang melihat irama nasyid kembali mewarnai persada seni tanah air.

Sebelum ini konsert yang dianjur kebanyakannya untuk artis komersial saja tanpa mengenengahkan artis genre nasyid yang perlu berusaha sendiri untuk mengadakan konsert.

Namun kini dapat dilihat yang kumpulan nasyid kembali aktif bergerak, bukan sekadar menjayakan persembahan kecil-kecilan sahaja.

Antara kumpulan nasyid yang bakal mengeggarkan pentas adalah UNIC yang dianggotai oleh Bazli Hazwan, Dr. Fitri Haris dan Fakhrul Radhi menerusi “This Is UNIC: Live In Concert”, yang akan berlangsung pada 20 Disember 2025 di Idea Live Arena, Level 2, 3 Damansara Mall, Damansara.

Konsert anjuran Triple Am Global itu, menandakan satu bab penting dalam perjalanan dua dekad UNIC, sekali gus menjadi konsert solo penuh pertama mereka selepas kembali bersatu dengan barisan terkini.

Selepas lebih 20 tahun berkarya, UNIC melihat konsert ini sebagai permulaan baharu, bukan hanya untuk mereka sebagai kumpulan, tetapi juga untuk menghidupkan semula keindahan muzik nasyid di pentas arus perdana.

UNIC berharap konsert ini jadi lebih daripada sekadar hiburan. Jika ia mampu meniup semangat baharu kepada peminat dan mengangkat semula martabat muzik nasyid, itu sudah cukup bermakna bagi mereka. UNIC ingin buktikan nasyid masih ada tempat di hati rakyat Malaysia.

Dari kiri, Dr. Fitri Haris, Fakhrul Radhi dan Bazli Hazwan bakal menghiburkan penonton-penonton dengan lagu-lagu popular UNIC.

Menurut Bazli, penganjuran konsert ini membawa makna besar kepada UNIC yang sudah lama berkecimpung dalam bidang seni suara tanah ari.

“Matlamat konsert ini sangat peribadi buat kami. Selepas lebih dua dekad bersama peminat, inilah masa untuk meraikan perjalanan panjang UNIC dengan mereka yang setia sejak awal.

“Kami hendak kembalikan semangat nasyid ke pentas besar, membuktikan muzik dakwah masih relevan dan mampu menyatukan hati ramai orang,” ujarnya.

Tambahnya, konsert tersebut bukan sekadar hiburan semata-mata kerana konsert ini dirangka sebagai satu pengembaraan muzik dan jiwa, membawa penonton menyusuri perjalanan UNIC dari awal kemunculan mereka hingga kini.

“Setiap segmen persembahan akan disusun berdasarkan fasa sejarah kumpulan ini, membolehkan peminat merasai perkembangan dan warna muzik UNIC sepanjang dua dekad,” katanya lagi.

Ujarnya, konsert tersebut bakal menghidupkan semula lagu-lagu ikonik seperti “Demi Cinta Suci”, “Hanya Tuhan Yang Tahu” dan “Ainul Mardhiah”, dengan sentuhan susunan muzik baharu yang segar.

Selain itu, penonton juga bakal disajikan dengan kejutan istimewa apabila beberapa artis jemputan yang pernah mempunyai kenangan bersama UNIC akan turut serta menghangatkan pentas.

“Insya-Allah, akan ada kejutan istimewa malam itu. Kami hendak cipta satu suasana yang penuh kasih, bukan hanya antara kami dan peminat, tapi juga dengan rakan-rakan artis yang pernah menjadi sebahagian daripada kisah UNIC,” kongsi Bazli.

Sementara itu, Dr. Fitri Haris berkata, konsert tersebut bukan sekadar untuk ditonton tetapi boleh dihayati sepenuhnya. Untuk persembahan itu nanti, UNIC akan menampilkan gabungan susunan muzik moden dan tradisional.

“Persembahan kami nanti akan disertai iringan live band di bawah pimpinan pengarah muzik berpengalaman. Kami mahu peminat rasa setiap fasa evolusi UNIC. daripada melodi lama yang membentuk identiti kami sehinggalah ke susunan moden yang lebih segar.

“Setiap nota adalah kenangan dan setiap lagu membawa mesej kerana konsert kali ini menonjolkan keseimbangan antara emosi, spiritual dan hiburan,” kata Dr. Fitri Haris.

Manakala Fakhrul pula memberitahu bahawa persiapan vokal, mental dan fizikal dijalankan dengan teliti demi memastikan persembahan berada di tahap terbaik.

“Kami ingin penonton bukan hanya datang untuk menonton, tetapi benar-benar merasai pengalaman konsert ini, daripada visual, bunyi, hingga mesej yang kami ingin sampaikan,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Triple Am Global, Nursyaqif Aimer, berkata penganjuran konsert ini lahir daripada rasa hormat terhadap perjuangan UNIC dalam menyebarkan dakwah melalui muzik.

“Kami terpanggil untuk merealisasikan konsert ini kerana melihat keikhlasan dan ketekunan UNIC dalam perjuangan mereka. ‘This Is UNIC’ bukan sekadar konsert, tetapi simbol kekuatan, kesetiaan dan kasih antara artis dan peminat,” jelasnya.

Tiket-tiket berharga RM249 untuk kategori Ainul Mardhiah, RM199 (Hanya Tuhan Yang Tahu), RM159 (Zinnirah -2nd Level), RM119 (Mahligai Kasih), RM99 (Balqis – 2nd Level) dan RM89 (Demi Cinta Suci – 2nd Level) boleh dibeli melalui laman web rasmi: www.ticket2u.com.my/ThisIsUNIC

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here