The Helmis, antara artis yang akan memeriahkan acara "Malam Untukmu Gaza - Kilauan Semantan, Harapan Gaza pada 24 Oktober ini di Jengka, Pahang.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MENDENGAR Heliza dan adiknya, Hazwani Helmi bercerita tentang pengalaman mereka menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF), penulis kagum dengan semangat mereka.

Jika anda ingin mendengar secara langsung Heliza atau Nur Heliza dan Nur Hazwani Afiqah berkongsi kisah mereka, jangan ketinggalan untuk hadir ke “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” di perkarangan Kedai Emas Sri Semantan (KESS) Jengka, Pahang pada 24 Oktober ini, jam 9 malam.

Penganjuran “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” adalah sebagai tanda solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin dan sekali gus merai pembukaan cawangan ketiga KESS.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KESS, Mohd Hafizal Mahmood, selain penonton berpeluang mendengar kisah suka duka dua beradik tersebut, The Helmis juga turut dilantik sebagai duta rasmi syiling emas khas KESS.

Pembelian syiling emas daripada penonton turut akan disalurkan kepada rakyat Palestin menerusi NGO Cinta Salam Malaysia.

Kata Mohd Hafizal, pelantikan pasangan artis dan aktivis kemanusiaan The Helmis sebagai duta rasmi mencerminkan komitmen syarikat untuk menggabungkan elemen keusahawanan dan kemanusiaan dalam satu platform yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Kami percaya keindahan rezeki bukan hanya pada hasil keuntungan, tetapi sejauh mana ia mampu memberi makna kepada orang lain. Syiling ‘Untukmu Gaza’ ini bukan sekadar produk emas, tetapi satu simbol perpaduan dan solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan saudara kita di Gaza.

“Program ini bukan sekadar majlis hiburan atau pelancaran produk semata-mata, kami juga ingin menjadikannya sebagai platform menyemai rasa cinta dan empati terhadap perjuangan rakyat Palestin.

“Harapnya akan timbul kesedaran pada generasi muda bahawa kemakmuran dan keamanan yang kita nikmati hari ini sepatutnya digunakan bagi membantu mereka yang tertindas,” katanya.

Tambah Mohd Hafizal, sebahagian hasil jualan daripada syiling khas itu akan disalurkan kepada rakyat Palestin melalui kerjasama dengan NGO Cinta Salam Malaysia, yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, salah seorang peserta Sumud Nusantara Flotilla.

Selain The Helmis, penonton yang hadir juga berpeluang untuk menonton persembahan istimewa daripada Raihan, Mawi dan Dr Sam Rasputin. Acara pada malam itu juga akan diadakan solat hajat dan persembahan qasidah dan sumbangan khas untuk tabung kemanusiaan Gaza.

KESS turut menegaskan bahawa inisiatif ‘Untukmu Gaza’ akan diteruskan di semua cawangan mereka di seluruh negara, sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang syarikat terhadap perjuangan kemanusiaan global.

The Helmis merupakan duta rasmi syiling emas khas KESS.

Sementara itu, Heliza berkata, selain berkongsi kisah perjalanan misi, dia dan Hazwani akan turut menyampaikan lagu baharu mereka, “Mengukir Takdir”.

“Insya-Allah, kami akan bercerita tentang perjalanan misi kemanusiaan dan semangat rakyat Palestin yang menjadi inspirasi kepada kami. Lagu “Mengukir Takdir” ini dirakamkan sebelum kami berangkat ke misi tersebut, dan kisah di sebaliknya benar-benar menyentuh hati kami.

“Alhamdulillah adik-beradik Tuan Musa (termasuk Nadir Al-Nuri) ini memang mudahlah untuk kita berurusan, mendapatkan sumbangan dan sebagainya. Kerjasama yang sangat hebat dan kami akan terus bekerjasama dengan Kedai Emas Seri Semantan.

“Apa yang kita boleh buat adalah berkongsi cerita dan pengalaman berkenaan dengan Palestin dan harapan kami mereka pula akan memberikan sumbangan kepada Palestin, Insya-Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Salam Malaysia, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman, yang turut bersama dalam misi kemanusiaan, menzahirkan penghargaan.

“Apabila sebuah jenama seperti Kedai Emas Sri Semantan sendiri menganjurkan Malam Untukmu Gaza, ia membuktikan bahawa kesedaran sudah menyebar luas hingga ke akar masyarakat.

“Inisiatif seperti yang dijalankan KESS memberi kesan besar dalam membina kesedaran dan empati masyarakat terhadap penderitaan rakyat Gaza. Saya sendiri bersama rakan-rakan artis seperti Ardell, Haroq, PU Rahmat dan Zizi Kirana pernah terlibat dalam misi Sumud Nusantara Flotilla. Kehadiran mereka bukan sekadar simbolik, tetapi strategi untuk membawa kisah kemanusiaan ini lebih dekat kepada hati rakyat Malaysia.

“Apabila ada rakyat Malaysia, khususnya artis, yang berkongsi kisah mereka merindukan keluarga dan merasai bahaya dalam misi itu, ia membangkitkan empati yang luar biasa di seluruh negara. Dan malam ini, saya lihat semangat itu diteruskan oleh KESS melalui pelancaran ini,” katanya.

Majlis “Malam Untukmu Gaza – Kilauan Semantan, Harapan Gaza” akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here