Siti Nurhaliza bergandingan dengan Lesti Kejora menerusi lagu "Kumbang Bunga".

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEBELUM ini Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pernah berduet dengan penyanyi Indonesia, Cakra Khan menerusi lagu “Seluruh Cinta”.

Lagu ciptaan komposer dan penulis lirik, Krishna Balagita yang juga berasal dari seberang itu dimuat dalam album ‘Fragmen’ yang merupakan album ke-17 Siti Nurhaliza pada 2014.

Siti yang baru-baru ini menghibur peminatnya di PestaPora 2025 yang berlangsung di Jakarta, kini tampil membuat kejutan lagi kepada peminatnya apabila memilih berduet dengan Lesti Kejora, juara musim pertama pertandingan bakat D’Academy.

Jika bersama Cakra, lagu dicipta oleh penggiat seni Indonesia, kali ini lagu berjudul “Kumbang Bunga” gandingan Siti dan Lesti Kejora atau nama sebenarnya Lestiani, dicipta oleh anak seni tempatan iaitu Firdaus Rahmat dan Iqie Hugh.

Lagu “Kumbang Bunga” merupakan single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza.

“Kumbang Bunga” merupakan single pertama daripada album terbaharu Siti Nurhaliza, sekali gus melambangkan persahabatan serta keharmonian dua negara serumpun yang disatukan melalui bahasa muzik.

Karya tersebut membawa makna signifikan sebagai gabungan tiga irama utama iaitu inang, dangdut dan masri dalam garapan kontemporari tradisional.

Lagu ini dihasilkan bagi menyantuni peminat muzik dari pelbagai lapisan usia, melangkaui generasi serta menarik minat golongan muda untuk terus mendekati muzik berteraskan warisan.

Menurut Siti, pertama kali mendengar melodi lagu tersebut, beliau sudah tertarik. Justeru itu, Siti mencadangkan agar elemen dangdut, yang sinonim dengan latar muzik Lesti, turut dimasukkan ke dalam gubahan lagu ini.

“Saya gembira kerana hasrat untuk berduet dengan Lesti sudah lama dirancang dan inilah waktu yang tepat apabila saya tampil dengan single serta album berkonsepkan tradisional,” ujar Siti.

Tambah beliau, muzik mempunyai kekuatan luar biasa untuk menyatukan manusia tanpa mengira bahasa, budaya dan sempadan.

Lesti Kejora mengakui sudah lama menyimpan impian untuk berduet dengan Siti Nurhaliza.

“Menerusi “Kumbang Bunga”, saya berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia dan Indonesia tetapi turut mendapat tempat di hati peminat kami di negara lain,” jelasnya lagi.

Kenyataan itu turut disambut baik oleh Lesti yang menyifatkan muzik sebagai medium yang mampu menyatukan dan menghargai perbezaan dengan penuh hormat.

“Saya berterima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana mengundang saya berduet dalam lagu yang sangat indah ini. Para peminat kami sudah lama mendambakan kolaborasi ini dan akhirnya menjadi kenyataan,” kata Lesti yang pernah berduet dengan kumpulan Ungu menerusi lagu “Bismillah Cinta”.

Sementara itu, Firdaus Rahmat, selaku komposer dan penulis lagu, menjelaskan bahawa proses penciptaan “Kumbang Bunga” mengambil masa kira-kira dua hari sahaja untuk disiapkan sepenuhnya.

“Lagu ini memang saya gubah khas untuk Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Lesti kerana saya ingin menonjolkan keindahan vokal mereka dalam nuansa irama tradisional yang moden dan segar,” ujar Firdaus yang bergabung bersama Iqie Hugh dalam penciptaan karya tersebut.

“Kumbang Bunga” terbitan SN Legacy Sdn. Bhd., Trinity Optima Production dan Universal Music Sdn. Bhd itu boleh didapati di semua pelantar digital. Begitu juga dengan video muzik rasmi yang memperlihatkan keindahan kolaborasi dua suara besar Nusantara dalam satu karya yang penuh makna sudah boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here