Oleh: Khadijah Ibrahim
PASTI ada yang tidak sabar dan sedang menghitung hari untuk menghadirkan diri ke ‘Konsert Muzik Kita!’ yang bakal berlangsung pada 2 Ogos ini di Hall A, MAEPS Serdang, Selangor.
Siapa yang tak teruja untuk menonton persembahan artis dan kumpulan muzik bawah tanah daripada beberapa generasi 90-an hingga sekarang seperti Butterfingers, Monoloque, Ki Misri, Fugo, Perry, Fimie Don, Satwo, Heidi Moru, Nadarasa, Dukes, Mardiana dan Salammusik serta artis Indonesia, Nosstress.
Opps! Simpan dulu keterujaan anda kerana konsert anjuran Hard Global Ventures itu terpaksa ditunda ke tarikh baharu pada Disember 2025.
Ketua Pegawai Eksekutif Hard Global Ventures, Khairil Azam Pilus atau Aril Pilus dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor penting yang mempengaruhi kelancaran dan kejayaan penganjuran acara berkenaan.

Katanya, pihak mereka ingin memastikan setiap aspek konsert dari sudut susunan persembahan, sistem bunyi, keselamatan, hingga keselesaan penonton berada pada tahap yang terbaik.
“Pihak penganjur memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan amat menghargai sokongan serta kesabaran semua pihak termasuk peminat, artis, rakan penaja dan media.
“Maklumat lanjut berkenaan tarikh baharu dan perkara-perkara berkaitan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat. Kami berjanji ‘Konsert Muzik Kita!’ akan kembali dengan lebih hebat. Teruskan menyokong artis dan muzik lokal kita. Terima kasih atas kepercayaan anda,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Terdahulu, penganjur menyatakan bahawa penganjuran ‘Konsert Muzik Kita!’ merupakan satu inisiatif untuk terus mengangkat nama-nama artis dan kumpulan muzik bawah tanah dari generasi era 90-an hingga sekarang agar ia terus dikenang serta tidak lenyap dengan memberi ruang kepada mereka terus berkarya secara kreatif tanpa batasan.
Pada masa yang sama, konsert itu dapat menyatukan kelompok peminatnya dalam menzahirkan ekspresi muzik mereka tersendiri tetapi dengan berpegang kepada rasa hormat menghormati antara satu sama lain.
Sesiapa yang telah membeli tiket untuk konsert tersebut bersabarlah kerana penganjur akan membuat pengumuman baharu dalam waktu terdekat nanti.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









