Oleh : Asmat Fikri
Jika sebelum ini kita telah bincangkan panjang lebar berkenaan dengan menopaus yang boleh kita ‘lewatkan’ sedikit, tapi ianya dengan jelas perlu difahami ia sesuatu yang tidak boleh dielak oleh semua kaum wanita. Setiap wanita akan melalui fasa menopaus, sama ada cepat atau lambat.
Namun, apabila topik ini dibincangkan, ramai yang segera mengaitkannya dengan ‘tanda penuaan’ atau ‘kehilangan kewanitaan’z Ketakutan ini bukan tanpa sebab perubahan hormon, simptom yang tidak menyenangkan serta stigma masyarakat sering membuatkan wanita berasa bimbang apabila mendengar perkataan menopaus.
Hakikatnya, menopaus bukan penyakit. Ia adalah satu proses semula jadi yang menandakan berakhirnya tempoh kesuburan seseorang wanita. Namun begitu, pemahaman yang kurang tepat dan persepsi negatif menjadikan fasa ini sering disalah erti dan ditakuti.
Sebab ramai wanita takut menopaus
Ada beberapa sebab menopaus yang cukup menakutkan para wanita. Antaranya adalah:
a) Perubahan fizikal yang ketara
Hormon estrogen yang menurun menyebabkan beberapa perubahan pada tubuh seperti haid terhenti, kulit menjadi kering, kenaikan berat badan, rambut gugur dan penurunan tenaga. Perubahan ini membuatkan ramai wanita berasa hilang keyakinan diri, seolah-olah kehilangan ‘diri yang lama’.
b) Gangguan emosi dan kesihatan mental
Simptom seperti mood swing, mudah marah, keresahan dan gangguan tidur sering berlaku dalam tempoh perimenopaus. Ketidaktentuan ini boleh menjejaskan hubungan kekeluargaan dan kehidupan seharian.
c) Tanggapan masyarakat
Dalam budaya kita, menopaus kadang-kadang dilihat sebagai tanda ‘sudah tua’ atau ‘tidak lagi menarik’. Persepsi sebegini menambah tekanan psikologi kepada wanita yang sedang melalui fasa tersebut.

Kesan negatif jika menopaus tidak diuruskan dengan baik
1. Masalah tulang dan jantung. Iaitu kekurangan estrogen yang boleh meningkatkan risiko osteoporosis dan penyakit jantung.
2. Gangguan tidur kronik. Hot flashes dan night sweats mengganggu rehat yang berkualiti.
3. Kesan terhadap hubungan intim. Kekeringan faraj dan perubahan hormon boleh menyebabkan ketidakselesaan serta menjejaskan hubungan suami isteri.
4. Emosi tidak stabil. Jika tidak ditangani, tekanan berpanjangan boleh membawa kepada kemurungan.
5. Sisi positif menopaus yang ramai wanita tak sedar Menopaus sebenarnya membuka ruang baharu dalam kehidupan wanita apabila:
1. Bebas daripada kitaran haid. Tiada lagi kekangan waktu haid atau masalah senggugut.
2. Kesedaran kesihatan meningkat. Ramai wanita mula memberi perhatian kepada gaya hidup sihat, senaman dan pemakanan seimbang.
3. Kestabilan emosi dan identiti diri. Dengan pengalaman hidup yang matang, ramai wanita menemui semula keyakinan dan ketenangan diri.
4. Kebebasan masa. Anak-anak biasanya sudah dewasa, membolehkan wanita menumpukan perhatian pada diri sendiri dan hobi yang diabaikan sebelum ini.
Penutup
Menopaus bukan penghujung kepada kehidupan seorang wanita, tetapi permulaan kepada fasa baharu yang menuntut penjagaan diri yang lebih menyeluruh dari segi fizikal, mental dan emosi. Rasa takut itu normal, namun dengan ilmu, sokongan dan sikap positif, setiap wanita boleh melaluinya dengan tenang dan yakin.
Menopaus bukan tanda kelemahan, tetapi bukti kekuatan seorang wanita yang telah melalui pelbagai fasa kehidupan dan kini bersedia menyambut babak baharu dengan lebih matang dan berani.

ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.









