ILUSTRASI KOMPOSIT: Wikimedia Commons

Oleh Nury Kadir

RAKYAT Malaysia menduduki tempat ke tiga di dunia dalam kategori paling malas berjalan kaki selepas Indonesia dan Arab Saudi yang berada di tangga pertama. Mengikut kajian yang dijalankan pada 2022, secara purata rakyat Malaysia melakukan 3,963 langkah sehari.

Sedangkan untuk sihat setiap individu perlu berjalan kaki sekurang-kurangnya 5,000 langkah sehari seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi sesetengah orang, berjalan memang satu perkara yang paling tidak menyeronokkan.

Alangkah seronoknya kalau tidak perlu berjalan. Hanya duduk sahaja. Dengan arahan mulut, semuanya boleh bergerak sendiri, seperti mana kaedah IoT (Internet of Things) tanpa perlu memetik suis, lampu terpasang dengan sendirinya, tanpa perlu berjalan mendapatkan makanan, sebaliknya ia terhidang secara automatik di meja. Ini membuatkan semakin hari kita menjadi semakin malas.

Bercakap tentang berjalan, ramai individu hebat dan berjaya menyerlahkan idea kreatif mereka hasil daripada berjalan kaki.

GAMBAR: Wikimedia Commons.

Tokoh hebat, seperti Charles Darwin (bapa evolusi), Friedrich Nietzsche (ahli falsafah), William Wordsworth (penyair Inggeris) juga Aristotle (ahli falsafah dan saintis) yang merupakan genius dalam pelbagai bidang, masing-masing mempunyai persamaan kerana suka berjalan.

Begitu juga dengan Steve Jobs, Mark Zuckerberg dan Jack Dorsey. Mereka memanfaatkan mesyuarat sambil berjalan kaki sebagai salah satu cara terbaik untuk berfikir, menghasilkan idea hebat dan kreatif.

Malangnya, orang Islam tidak suka mencontohi kebaikan itu.

Sebagai bukti, negara yang menjuarai takhta penduduk paling malas berjalan kaki adalah negara Islam, iaitu Arab Saudi. Kebanyakan kita lebih suka duduk melepak, makan-makan dan berjalan santai-santai, sedangkan tatacara berjalan yang Nabi Muhammad SAW perlihatkan dalam hadisnya bukan dengan jalan bermalas-malas.

Di sini dipetik penjelasan dari Pensyarah Kanan Jabatan Al-Quran dan Al-Sunah, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Dr. Suriani Sudi mengenai cara Nabi Muhammad SAW berjalan berdasarkan hadis.

1.Cepat tetapi bukan tergesa-gesa.

Disebut dalam hadis riwayat at-Tirmidzi; Abu Hurairah pernah bercerita, “Saya tidak pernah melihat orang yang paling gagah daripada Rasulullah SAW, seakan-akan matahari berjalan di wajahnya. Dan saya tidak pernah melihat seseorang yang paling cepat jalannya daripada Baginda SAW, seakan-akan bumi berlipat untuknya. Kami memenatkan diri kami (dengan berjalan seperti Baginda) sedangkan Baginda dalam keadaan biasa sahaja.”

Walaupun Rasulullah SAW berjalan laju tapi tenang dan tidak menyeret kaki. Baginda SAW menapak dengan penuh semangat, berhati-hati, tertib, sopan dan postur badannya tegak. Menunjukkan keazaman Nabi SAW dalam hidupnya, penuh dengan karisma, mengejar masa dan mempunyai arah.

2.Luas langkahnya, tertib dan sopan

Selain itu, hadis riwayat ath-Thabrani dan al-Baihaqi juga memerihalkan cara Rasulullah SAW berjalan. Diceritakan oleh Hindun bin Abi Halah,”…Apabila berjalan diangkat kakinya dengan tegap, mengatur langkah dengan badan condong ke hadapan dan berjalan dengan tertib dan sopan. Luas langkahnya (secara semula jadi bukan dibuat-buat) di mana apabila berjalan seakan-akan Baginda turun ke tempat rendah (kerana pantas berjalannya dengan langkah yang luas itu).

Apabila Baginda menoleh (kepada seseorang) Baginda akan memalingkan seluruh tubuhnya (ke arah orang itu).

Pandangan matanya selalu direndahkan (ditundukkan) sehingga pandangannya ke bumi lebih banyak daripada pandangannya ke langit.

Kebanyakan pandangannya (kepada benda-benda duniawi) ialah pandangan ekor mata. Apabila berjalan bersama para sahabat Baginda akan mendahulukan mereka (Baginda berjalan di belakang). Apabila bertemu seseorang, Bagindalah yang terlebih dahulu memberi salam.”

ILUSTRASI: Wikimedia commons.

Di situ, jelas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW menghormati para sahabat yang lain walaupun ketika berjalan. Walaupun demikian, itu tidak bermakna Nabi SAW berjalan dalam keadaan lemah- gemalai, sebaliknya cara Baginda SAW berjalan masih lagi laju, tegap tanpa melupakan tawaduk.

Hendak dibayangkan betapa cepatnya langkah kaki yang diatur oleh Rasulullah SAW hingga para sahabat mengatakan, “kami memenatkan diri kami (dengan berjalan seperti Baginda) sedangkan  Baginda dalam keadaan biasa sahaja.” (HR at-Tirmidzi).

Dari situ, jelas bahawa cara Rasulullah SAW berjalan memang cepat dan itu adalah kebiasaannya yang tidak biasa bagi para sahabat.

Namun, hakikatnya itulah cara Nabi SAW berjalan dengan penuh bersemangat, tegap, langkah yang kuat dan cerminan jalannya gaya sebagai seorang ketua.

Mulai hari ini, marilah kita berjalan mengikut cara Rasulullah SAW. Berjalanlah dengan penuh semangat tapi bukan dengan sombong sebagaimana yang diperintahkan di dalam firman Allah SWT menerusi surah al-Furqan ayat 63 dan al-Isra ayat 36.

Maksudnya, “Dan hamba-hamba (Allah) ar-Rahman (yang diredaiNya), ialah mereka yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang yang berkelakuan kurang adab, hadapkan kata-kata kepada mereka, mereka menjawab dengan perkataan yang selamat dari perkara yang tidak diingini.”

Manakala dalam surah al-Isra ayat 36, Maksudnya; “Dan janganlah kamu berjalan di muka bumi ini dengan sombong, kerana sesungguhnya kamu tidak akan dapat menembus bumi dan tidak akan mampu menjulang setinggi langit.”

Hakikatnya, untuk mendapatkan cara berjalan seperti Nabi Muhammad SAW kita kena bermula dari hati. Cara berjalan adalah cerminan personaliti dan ia adalah gambaran apa yang ada di hati. Marilah kita berjalan dengan tenang, sopan santun tetapi pantas dan tegas. Elakkan bermalas-malas ketika berjalan dengan menyeret kasut.

Untuk lebih mendalami cara jalan Rasulullah SAW seterusnya, ikuti sambungan akan datang…

Previous articleLuahan Hati Ibu Shila Amzah Buat Netizen Sebak
Next articleCara lapor penderaan kanak-kanak [BHGN 2]

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here