Oleh Syed Wafa / Foto Koleksi Syed Wafa/Ehsan Seniwati Zaiton Abdullah

BAGI para peminat filem Melayu zaman Studio Jalan Ampas, pasti beranggapan beliau mula berlakon dan terkenal kerana kemunculannya dalam tiga daripada empat siri filem ‘Bujang Lapok.’

Tetapi realitinya, beliau bukan bermula dengan filem “Bujang Lapok (1957),  Ali Baba Bujang Lapok (1961) atau Seniman Bujang Lapok” (1961) dengan wataknya sebagai ‘Jeton’ (Pendekar Bujang Lapok terbitan 1957, beliau tidak berlakon). Sebaliknya, beliau mula menceburi bidang lakonan sebagai pelakon ‘extra’ dalam filem “Kipas Hikmat” pada tahun 1955.

Wajah jelita seniwati Zaiton sehingga kini tidak dapat dilupakan oleh peminat filem Melayu.

Semuanya bermula ketika beliau sedang belajar menjahit sulam di sebuah kedai jahit di Geylang Serai dan didatangi oleh Syed Hamid yang lebih mesra disapa Wan Chik dan terkenal dengan nama glamournya, HM Rohaizad. Allahyarham adalah suami kepada Allahyarham Seniwati Mariani.

“Waktu itu, Abang Wan Chik memperkenalkan diri dan memberitahu sedang mencari bakat baru. Beliau kemudian bertanya adakah Umi berminat menjadi pelakon.

HM Rohaizad yang bertanggungjawab bawa Zaiton ke dunia perfileman Melayu

“Umi tidak menjawab pertanyaan Abang Wan Chik tetapi beliau pesan esok pagi datang ke Studio Jalan Ampas,” cerita Seniwati Zaiton, 86 yang lebih mesra disapa ‘Umi’.

Walaupun tidak berkata ‘ya’ atau ‘tidak’ tetapi keesokan harinya, dengan ditemani ibunya, Zaiton ke Studio Jalan Ampas untuk menjalani sesi uji bakat.

Lakonan hebat Zaiton dalam filem Hang Tuah (1956) sebagai Tun Teja telah berjaya memenangi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke 3 (1957)

“Pada hari itu, memang ramai yang datang sebab semuanya nak jadi bintang filem. Mulanya Umi disuruh berdialog secara bebas dan berjaya.

“Tetapi kemudian P. Ramlee bagi Umi dialog dan secara spontan Allahyarham suruh Umi menangis. Umi tak boleh menangis tetapi apabila beliau mula berdialog dan menangis barulah Umi dapat ‘feel’ dan menangis,” cerita Zaiton yang mana seminggu selepas itu beliau dipanggil untuk berlakon sebagai ‘Tengku Zaleha’ dalam filem “Kipas Hikmat” arahan S. Ramanathan dan diterbitkan pada tahun 1955.

Bersama Tan Sri P. Ramlee dalam filem ‘Ibu Mertua-ku’ 1962 sebagai Chombi

“Selepas ‘Kipas Hikmat’ Umi dipanggil ke pejabat untuk menandatangani kontrak selama tiga tahun menjadi artis Shaw Brothers dan berlakon filem kedua, ‘Abu Hassan Penchuri.‘ Selama itu, Umi tidak boleh berlakon filem selain terbitan Malay Film Production.

“Bagaimanapun buat pertama kali, Umi diberi peranan utama dalam filem “Jubah Hitam” di samping seniman Yusof Latiff. Filem terbitan tahun 1955 itu juga diarahkan oleh S. Ramanathan.

Ketika Zaiton belajar menjahit sulam beliau telah ditawar oleh HM Rohaizad untuk pergi ujibakat dalam berlakon filem.

“Umi bersyukur ditemukan dengan Rohaizad. Sudah ditentukan pertemuan itu telah membawa Umi ke dunia filem dan menjadi seniwati yang diminati sejak tahun 1950-an dan masih dikenali sehingga hari ini,” kata Zaiton.

Selepas “Jubah Hitam” Zaiton terus ditawarkan berlakon dan sepanjang tahun 1950-an beliau telah membintangi 11 filem antaranya “Hang Tuah, Anakku Sazali, Bujang Lapok dan Batu Belah Batu Bertangkup.”

Dalam filem ‘ Raja Bersiong’ 1968 sebagai Cindera

Di antara 11 filem itu, empat daripadanya arahan Phani Majumdar, dua diarahkan pengarah Filipina iaitu T.S Santos dan Ramon A. Estella dan satu arahan P. Ramlee.

Sementara sepanjang tahun 1960-an, Zaiton telah membintangi 16 filem dengan enam arahan Allahyarham Datuk Jamil Sulong dan tiga arahan P.Ramlee.

“Di antara pengarah itu, Umi paling banyak berlakon filem arahan Pak Jamil. Tujuh filem arahan Allahyarham, Umi lakonkan bermula dengan ‘Batu Belah Batu Bertangkup (1957) dan berakhir dengan filem ‘Raja Bersiong’ (1967).

KENANGAN manis…Aktor Hollywood, Roger Moore berbual mesra bersama para seniwati yang turut sama disertai oleh Zaiton.

“Filem tersebut bukan sahaja menjadi filem terakhir Umi dengan Allahyarham, malah buat kami para pelakon. Sebabnya…sekembalinya Umi dan mereka yang terlibat penggambaran ‘Raja Bersiong’ di Kedah, kami dipanggil berkumpul di Studio Jalan Ampas dan diberitahu Shaw Brothers akan ditutup.

“Apabila diberitahu mengenai penutupan Studio Jalan Ampas, Umi kesian melihat reaksi kawan-kawan betapa sedihnya mereka kerana hilang punca pendapatan untuk menanggung keluarga. Umi memang tidak terkesan kerana ada suami dan bisnes,” cerita Zaiton.

Legenda Hollywood John Wayne bergambar kenangan bersama seniman dan seniwati dari Malaya (melawan putaran jam) Salleh Kamil, Tan Sri Jins Samsuddin, Haji Mahadi, Mariani, Datuk Rosnani, Zaiton dan Puan Sri Saloma.

Namun, katanya semua itu terpaksa dihadapi apabila sambutan para penonton terhadap filem berkurangan apabila TV sudah mula ada pada tahun 1965.

Bagi Zaiton, walaupun pengakhiran ‘dunia filem Melayu’ ketika itu amat menyedihkan tetapi beliau tidak akan melupakan kenangan manis dan melucukan serta kenangan indah dan menyedihkan sepanjang 12 tahun menjadi ‘orang filem.’

Dalam filem ‘ Bujang Lapok’ 1957 sebagai watak Zaiton turut dibintangi oleh Aziz Satar,Normadiah,Dayang Sofia dan S. Shamsuddin.

“Sampai hari ini apabila mengingatkannya kadangkala Umi tersenyum. Bayangkan watak Umi sebagai Jeton (Zaiton) dalam filem ‘Bujang Lapok dan Seniman Bujang Lapok’ membuatkan para peminat menganggap Umi benar-benar bercinta dengan Abang Sudin (Allahyarham S.Samsuddin).

“Sedangkan waktu itu, Umi telah berkahwin dengan Abdullah Hussain (Allahyarham) dan kami sudah ada dua orang anak lelaki tetapi Umi amat bersyukur suami Umi faham kerana Umi dah berkahwin sebelum berlakon. Kami tinggal di Opera Estate.”

ZAITON bersama pemilik Shaw Brothers, Run Run Shaw.

“Sementara Abang Sudin dan isteri, Kak Puteh Esmoon (Allahyarham) sudah punya lima orang anak dan mereka tinggal di kuaters Boon Teck Road yang disediakan untuk seniman dan seniwati Studio Jalan Ampas,” cerita Zaiton lagi.

Namun jodoh beliau dengan Abdullah Hussain tidak panjang. Zaiton kemudian bertemu jodoh dengan ahli perniagaan, Syed Abdullah Alkaff dan mempunyai tiga orang anak perempuan.

Selain itu, kata Zaiton, kenangan manis dan melucukan apabila teringat wataknya sebagai ‘Kalsum Bee’ atau Chombi dalam filem ‘Ibu Mertuaku’ yang mana sehingga hari ini beliau dipanggil Chombi walaupun ketika bertemunya di pasar.

SENIWATI Zaiton bersama memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat dunia ketika mewakili Malaya di Festival Filem Pasifik, San Francisco, Amerika Syarikat.

“Satu lagi babak semasa Chombi bertemu Kassim Selamat di hospital yang boleh melihat setelah menjalani pembedahan. Jika penonton perasan babak di mana Chombi yang terlalu gembira dan sedih apabila Kassim Selamat (P.Ramlee) boleh melihat dan Chombi memalingkan mukanya ke kiri dada Kassim Selamat.

“Sebelum shooting Abang Ramlee pesan begitu kerana takut ada kesan lipstik di baju kerana balik dari shooting, Norizan (Allahyarham) akan periksa baju dan jika ada lipstik beliau akan marah kerana cemburu,” cerita Zaiton sambil mengenangkan betapa P.Ramlee tidak pernah marah walaupun beliau terlupa dialog!

SELAIN bakat, wajahnya yang cantik dan manis Zaiton menjadi ‘tiket’ beliau menjadi salah seorang seniwati terkenal pada tahun 1950-an dan 1960-an.

Kenangan manis dan indah yang tidak mudah dilupakan bagi ‘Siti’ (nenek) kepada 21 orang cucu apabila wataknya sebagai Tun Teja dalam filem “Hang Tuan” telah menobatkan beliau sebagai Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-3 pada tahun 1957. Sementara pada tahun 1958 pada Festival Filem Malaya, beliau dianugerahkan Aktres Terbaik kerana lakonannya dalam filem “Taufan.”

Wajah terkini Zaiton masih jelita.

Pada tahun yang sama, Zaiton adalah satu-satunya artis Melayu dipilih mewakili Malaya memperkenalkan budaya Melayu kepada masyarakat dunia di Festival Filem Pasifik yang berlangsung di San Francisco, Amerika Syarikat. Kenangan yang paling indah dan tidak dapat dilupakan bertemu dengan Roger Moore pelakon ketiga yang membintangi filem James Bond.

ZAITON (berdiri tiga dari kanan) bersama anak-anak, menantu dan sebahagian daripada 21 orang cucu.

Apabila ditanya andai kata ada syarikat penerbitan mengundangnya muncul sebagai ‘cameo’ dalam sebuah filem, Zaiton yang menganggap penutupan Studio Jalan Ampas meninggalkan ‘parut’ kepada mereka di sebalik filem-filem terbitan Shaw Brothers, berkata;

“Sekali Umi melangkah ke hadapan tidak mungkin Umi menoleh ke belakang.”

Seniwati Zaiton juga sempat sampaikan salam buat peminat yang disayangi serta mendoakan kesihatan beliau.

Penulis bergambar kenangan bersama Seniwati Zaiton.
Previous articleHalia Penuh dengan Khasiat
Next articleKonsert Datuk M. Nasir di Kuala Lumpur

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here