Oleh Nafsiah Jani
Betapa bertuahnya kita sebagai umat Nabi Muhammad SAW kerana keperibadiannya begitu dipandang tinggi masyarakat Barat. Michael H. Hart dalam karyanya ‘The 100: A Ranking Of The Most Influential Persons In History’ telah menobatkan Rasulullah SAW sebagai tokoh nombor satu daripada 100 tokoh paling berpengaruh di dunia.
Manakala George Bernard Shaw, seorang tokoh falsafah Inggeris pemenang hadiah Nobel pada tahun 1920 dalam bidang sastera, pernah menyatakan Rasulullah SAW memiliki keperibadian yang sangat agung dan penyelamat kemanusiaan. Beliau yakin seandainya Baginda masih hidup dan menjadi pemimpin di dunia moden ini, Baginda mampu mengatasi segala permasalahan serta membawa kedamaian serta kebahagiaan yang diperlukan masyarakat dunia
Ketika berbicara, Baginda menggunakan ayat ringkas, padat, lengkap dan mudah difahami. Baginda tidak akan bercakap melainkan perkara penting dan terdapat keperluan serta tidak akan meninggikan suara melainkan untuk menyatakan hal benar dan apabila berkait hak Allah SWT.
Akhlak Rasulullah SAW ialah al-Quran, terpancar sepanjang zaman walaupun sudah lama wafat tetapi masih ramai tertarik dengan Islam kerana terpesona dengan akhlak Baginda. Rasulullah SAW sangat mengasihi anak yatim, berlemah-lembut dengan golongan tua, sangat menyintai jiran tetangga dan golongan fakir hingga sanggup berlapar demi berkongsi sebiji kurma walaupun hanya itu yang Baginda miliki.
Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, kita digalakkan untuk mengamalkan segala amalan sunnah yang ditinggalkannya. Amalan sunnah adalah apa-apa yang dilakukan Rasulullah sama ada melalui perlakuan, perbuatan, percakapan dalam kehidupan seharian Baginda. Amalan sunnah tersebut jika dilakukan akan mendapat pahala dan tidak berdosa jika kita meninggalkannya.
Mungkin berkat kita mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan penuh keikhlasan, kita bakal beroleh syafaat Baginda di akhirat kelak. Semoga kita sebagai umat Rasulullah SAW tergolong dalam kalangan umatnya yang beriman dan beramal soleh.
Begitu banyak amalan Rasulullah SAW namun kami paparkan 10 daripadanya yang boleh kita teladani untuk mendapat pahala.
1. Rasulullah SAW juga telah mengajar umatnya untuk mendahulukan semua anggota kanan dan kemudiannya diikuti anggota kiri dalam setiap perkara yang dilakukan. Ketika hendak memakai kasut dahulukan dengan kaki kanan dan dimulakan dengan kaki kiri ketika ingin menanggalkannya.
2. Selain bersedekah dengan duit, Rasulullah SAW juga menggalakkan umatnya bersedekah dengan senyuman kerana ia adalah perkara mudah yang boleh dilakukan. Bersedekah ini sebagai tanda syukur dengan segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT. Bersedekah juga dapat menghapuskan dosa-dosa lalu dan menjinakkan hati supaya tidak terlalu cintakan keduniaan berbanding akhirat.
3. Waktu tidur kita digalakkan untuk berwuduk, mengibas-ngibas tempat tidur sebanyak tiga kali serta digalakkan mengiring disebelah kanan. Sambil melelapkan mata, bacalah ayat Kursi, tiga qul iaitu surah Al-Ikhlas, Al-Falaq dan An-Nas. Selesai saja bacaan, hembuskan pada telapak tangan dan usap pada seluruh anggota badan.
4. Sebelum melakukan apa saja perkara, kita perlulah mulakannya dengan bacaan Bismillah. Bacaan ini secara tidak langsung dapat melindungi kita daripada pandangan mata jin.
5. Apabila bertemu saudara sesama Islam, kita disunatkan mengucapkan salam, “Assalamualaikum atau Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh”, sama ada pada orang yang kita kenal atau tidak. Kemudian, hendaklah kita bersalam-salaman.
6. Sebelum melangkah masuk ke dalam tandas dengan kaki kiri, bacalah doa berikut:
“Allahumma inni a’uzubika minal khubusi wal khaba’is’ (Ya ALLAH, sesungguhnya aku berlindung kepadaMU daripada godaan syaitan jantan dan betina.”
Setelah itu, keluar dari tandas dengan kaki kanan sambil membaca:
“Ghufranak” (Aku memohon ampun kepadaMU)
7. Ketika hendak keluar dari rumah, amalan Rasulullah SAW ialah membaca:
“Bismillahi tawakkaltu alallah, wa la haula wala quwwata illa billah (Dengan nama ALLAH, aku bertawakkal kepada ALLAH. Dan tiada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan ALLAH).”
Manakala ketika hendak masuk ke dalam rumah pula, disunatkan untuk mengucapkan bismillah, memperbanyakkan zikir kepada Allah dan mengucapkan salam sama ada rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak.
8. Sebelum dan selepas makan, kita disunatkan untuk berdoa. Memadai dengan hanya membaca Bismillah. Ketika makan dan minum hendaklah dimulai dengan tangan kanan dan mengambil makanan yang paling hampir dengan kita. Kita tidak digalakkan meniup makanan atau minuman, tidak menghina makanan apabila tidak sedap dan tidak membazirkan juadah tersebut. Selesai makan, jilatlah jari-jari tangan untuk membersihkan sisa makanan tersebut.
9. Setiap saat, mulut Rasulullah SAW tidak pernah lekang dengan berzikir dan memuji nama-nama Allah. Itulah amalannya setiap hari tanpa mengira masa, hari, tempat dan waktu.
10. Terdapat banyak hadis menunjukkan Rasulullah SAW inginkan amalan menziarahi orang sakit perlu dilaksanakan semua umat Islam. Antara kesan positif dirasakan oleh mereka yang menziarahi rakan yang sedang sakit, pastinya timbul perasaan simpati dan insaf pada diri sendiri. Rasulullah SAW bersabda: “Hak seorang Muslim terhadap seorang Muslim yang lain ada lima iaitu menjawab salam, menziarahi yang sakit, mengiringi jenazahnya ke perkuburan, menerima undangan dan mendoakan orang yang bersin.”
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.