Oleh: Nury Kadir
Baru-baru ini ada seorang wanita membuat panggilan ke stesen radio terkenal, meluahkan perasaan tidak puashati. Isu yang diluahkan adalah mengenai lelaki. Maaf ya, bukan hendak kutuk kaum lelaki namun isu yang dikemukakan wanita itu agak menarik.
Sebelum itu, perlu dijelaskan bahawa wanita yang meluahkan kegusaran tersebut bukanlah mangsa dera suami atau isteri terabai. Dia seorang wanita yang baik-baik sahaja dan bukan sesiapa pun dengan lelaki yang diceritakan. Cuma dia rasa tidak puashati melihat sikap lelaki muda zaman sekarang.
Wanita itu adalah seorang pengurus sumber manusia yang sering menjalankan temuduga untuk pengambilan pekerja baru. Apa yang hendak dikongsikan adalah pengalamannya menemuduga calon pekerja lelaki di mana kebanyakan calon tidak layak bukan kerana akademik dan pengalaman kerja tetapi sikap suka bertukar kerja.
Katanya, enam daripada sepuluh calon yang pernah ditemuduga sering bertukar kerja dengan alasan mencari pengalaman dan peluang gaji yang lebih baik. Memang betul cara lelaki itu tidak salah mencari peluang yang lebih baik untuk meningkatkan ekonomi keluarga. Namun apabila diteliti balik resume ada sedikit kemusykilan. Kebanyakan berhenti kerja sebelum dapat pekerjaan baru jadi ada beda 4-5 bulan sementara mendapat pekerjaan di tempat baru.
Apabila ditanya dalam tempoh lima bulan tanpa pendapatan, bagaimana dia menampung keperluan keluarga. Hampir semua memberikan jawapan yang sama… “Tak ada masalah kerana isteri saya bekerja.”
Apakah maksudnya? Adakah sepanjang lima bulan menganggur segala tanggungjawab suami dan nafkah keluarga isteri yang menanggung? Luahan wanita tersebut berisi nada kesal, apabila mentaliti lelaki muda zaman sekarang menganggap tanggungjawab menyediakan nafkah keluarga itu boleh diserahkan kepada isteri sewenang-wenangnya.
Apa yang boleh difahami dari luahan tersebut mengenai tanggungjawab suami menafkahi isteri dan keluarga. Kedua apa kualiti didikan yang anak lelaki terima daripada ibu bapa bahawa lelaki adalah ketua keluarga dan pemimpin.

Kalau bincang soal menafkahi isteri dan keluarga tentu ramai lelaki yang tidak puas hati. Sebelum melenting tinggi sampai ke langit perhatikan dahulu ayat al-Quran dan hadis ini. Kemudian buka fikiran seluas-luasnya untuk menilai pendapat ulama.
Mari kita mulakan dengan firman Allah SWT firman Allah SWT dalam surah al-Talaq ayat 7,
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّـهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّـهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”
Kemudian perhatikan pula hadis darpada Mu’awiyah al-Qusyairi RA, bahawa beliau telah bertanya kepada Nabi SAW: “Wahai Rasulullah, apakah hak isteri salah seorang dari kami yang menjadi kewajipan suaminya?” Maka Rasulullah SAW menjawab:
أَنْ تُطْعِمَهَا إِذَا طَعِمْتَ ، وَتَكْسُوَهَا إِذَا اكْتَسَيْتَ – أَوِ اكْتَسَبْتَ – وَلاَ تَضْرِبِ الْوَجْهَ ، وَلاَ تُقَبِّحْ ، وَلاَ تَهْجُرْ إِلاَّ فِي الْبَيْتِ
Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah.” (Riwayat Abu Daud, Ibn Majah dan Ahmad)
Begitu dalam hadis Daripada Jabir RA, katanya Rasulullah SAW bersabda,
فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ …وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَقَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ مَا لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُ إِنِ اعْتَصَمْتُمْ بِهِ كِتَابَ اللَّهِ
Maksudnya: “Bertakwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah…Kewajipan kamu pula ialah memberikan nafkah dan pakaian yang sepatutnya kepada mereka. Sesungguhnya, aku tinggalkan satu perkara yang kamu tidak akan sesat selama-lamanya, selagi kamu berpegang dengannya, iaitu kitab Allah.” (Riwayat Muslim)
Dan, ini pula adalah pendapat ulama yang dikutip daripada www.muftiwp.gov.my, majoriti ulama berpendapat wajib bagi suami untuk berusaha sebaik mungkin memberi nafkah kepada keluarganya dengan segala upaya tanpa mengharapkan pendapatan isteri.

Nafkah bagaimana yang dimaksudkan? Majoriti ulama berpendapat, nafkah yang wajib dipenuhi oleh suami untuk isterinya tanpa mengira sama ada isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan mahu pun tidak adalah:
1. Tempat tinggal yang selamat
2. Makanan dan minuman
3. Pakaian yang sesuai dan menutup aurat
4. Barang-barang dapur
5. Peralatan dan kelengkapan untuk membersihkan diri
6. Peralatan rumah, tempat tidur dan perkakas memasak.
7. Pembantu kepada isteri jika sekiranya isteri kebiasaannya mempunyai pembantu
Berapa pula kadar nafkah kepada isteri yang dianggap mencukupi? Dalam hal tersebut ia bergantung kepada kemampuan suami. Sebagaimana penjelasan yang dibuat oleh mufti Wilayah Persekutuan, jumlah dan jenis nafkah untuk isteri berbeza berdasarkan kemampuan suami. Kedudukan isteri dari segi kekayaan, kemiskinan, keturunan, jawatan atau taraf pendidikan tidak mempengaruhi kadar tersebut kerana faktor yang diambil kira ialah kemampuan suami. Perkara ini merujuk kepada pemberi nafkah yang bukan penerima nafkah. Firman Allah SWT:
لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍ مِّن سَعَتِهِ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ فَلْيُنفِقْ مِمَّا آتَاهُ اللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَا آتَاهَا ۚ سَيَجْعَلُ اللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍ يُسْرًا
Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu), Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” (Surah al-Talaq: 7)
*Ikuti sambungan artikel bahagian kedua, apakah hak isteri menghadapi suami yang tidak mahu memberi nafkah kepada keluarga.

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.