Oleh: Nury Kadir
Nabi SAW memegang pintu Kaabah, manakala khalayak Quraisy menunggu di bawah lalu bersabda:
لَا إِلَه إِلَّا اللَّه وَحْده لَا شَرِيك لَهُ صَدَقَ وَعْده وَنَصَرَ عَبْده وَهَزَمَ الْأَحْزَاب وَحْده…
“Tiada Tuhan melainkan Allah. Tiada sekutu bagiNya, benar janjiNya, membantu hambaNya, mengalahkan golongan Ahzab sendiri-Nya.”
“Ingatlah setiap warisan lama, setiap warisan Jahiliah sama ada harta benda atau darah kesemuanya sekarang berada di bawah kakiku ini, kecuali kuasa untuk mengurus Kaabah dan memberi minum kepada orang ramai yang berhaji. Fahamilah, membunuh itu adalah salah sama sekali, sama ada dengan pembunuhan yang disengajakan, dengan menggunakan senjata ataupun kayu pemukul. Jika hal ini berlaku, maka hukuman berat akan dikenakan, iaitu seratus unta, yang mana 40 daripadanya adalah anak yang masih dalam kandungannya.
“Wahai orang-orang Quraisy! sesungguhnya Allah telah pun melenyapkan dari kamu kesombongan jahiliah, sikap bermegahan dengan baka keturunan. Semua manusia sebenarnya adalah berasal daripada Adam dan Adam pula berasal daripada tanah. Kemudian Baginda membaca ayat 13 surah al-Hujurat;
يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ
Maksudnya: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).”
Kemudian sambung Baginda SAW dengan sabdanya, maksudnya: “Wahai orang-orang Quraisy! Apakah yang kamu fikirkan akan kulakukan terhadap kamu semua?” Jawab mereka: “Tentulah baik, kerana engkau seorang saudara yang mulia dan anak kepada saudara yang mulia.” Maka jawab Rasulullah SAW: “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu sepertimana Yusuf telah berkata kepada saudara-saudaranya: “لَا تَثْرِيبَ عَلَيْكُمُ الْيَوْمَ” (Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu). Ayuh beredarlah. Kamu semua bebas.” (Sirah Ibn Hisyam dan al-Rahiq al-Makhtum)
Bagi Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, erti kemerdekaan sebenar adalah:
- Merdeka dari belenggu penjajah.
- Merdeka dari serangan pemikiran penjajah (al-ghazw al-fikri).
- Merdeka dari penjajahan ekonomi.
- Merdeka dari belenggu keberhutangan yang melampau.
- Merdeka dari budaya ciplak yang songsang, yang tiada kena mengena dengan adat resam ketimuran dan Malaysia.
- Merdeka daripada akhlak yang buruk dan keji serta nafsu serakah yang buruk dan hina.
- Merdeka dari akal yang terbelenggu dengan kemabukan sama ada disebabkan oleh arak ataupun dadah dengan pelbagai jenis dan bentuk.
- Merdeka dari kemalasan, kealpaan, ketakutan, kelalaian, kemiskinan, kepapaan, kebodohan, kelemahan dan pelbagai jenis penyakit yang berbahaya.
- Merdeka dari kemurungan, kedukacitaan, kesedihan, perasaan yang lemah dan pemikiran yang lemah.
- Merdeka dari perpecahan, pergaduhan, permusuhan, perseteruan serta peperangan saudara.
- Merdeka dari kelemahan pembinaan institusi kekeluargaan seperti rapuhnya rumah tangga, ketidakbertanggungjawaban terhadap anak-anak dan remaja, kurangnya kasih sayang, simpati dan empati dari kalangan keluarga.
- Merdeka dari sifat dan sikap ekstrem, taksub, perkauman yang melampau serta mengeruhkan hubungan etnik, bangsa sekalipun semuanya warganegara Malaysia.
Tambahnya, kemerdekaan negara yang dinikmati ini adalah anugerah Allah SWT yang wajib disyukuri dan dipelihara. Pelbagai nikmat telah dirasai oleh kita sebagai rakyat Malaysia hasil daripada kemerdekaan. Antara pengekalan nikmat kurniaan Tuhan ini adalah dengan sentiasa mematuhi perintah Allah.
Firman Allah SWT, maksudnya: “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Surah al-Haj:41)
Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah Maha Gagah dan Maha Perkasa dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ)
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”; (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan.”
Itulah yang Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri huraikan erti kemerdekaan menurut pandangan Islam. Sempena bulan merdeka ramai yang mencari sumber untuk menyandarkan kelebihan mencintai negara kepada hadis tertentu biar nampak kukuh hujahnya. Masalahnya sahihkah hadis tersebut hingga disebut-sebut setiap kali membicarakan tentang kemerdekaan? Ada satu hadis yang sering disebut-sebut iaitu:
حُبُّ الْوَطَنِ مِنَ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Cintakan negara (tanah air) sebahagian daripada tanda keimanan.”
Ini pula adalah jawapan yang diberikan di dalam www.muftiwp.gov.my. berdasarkan pandangan ulama hadis seperti berikut:
1. Imam al-Saghani (650 H) menilai hadis ini palsu.
2. Imam al-Fattani (986 H) menilai hadis ini palsu.
3. Imam Mulla Ali al-Qari (1014 H) menilai hadis ini tiada asal baginya.
4. Imam al-Qawqaji (1305 H) menilai hadis ini sebagai palsu.
5. Imam al-‘Amiriy (1143 H) di dalam kitabnya, ucapan tersebut bukanlah daripada hadis Nabi SAW. Akan tetapi, ia diriwayatkan oleh Ibn Abi Hatim daripada al-Dhahhak berkata: Apabila dia (Rasulullah SAW) keluar dari Makkah dan sampai ke al-Juhfah, dia merasa rindu kepada Makkah. Lalu Allah SWT menurunkan ayat al-Qasas: 85,
إِنَّ الَّذِي فَرَضَ عَلَيْكَ الْقُرْآنَ لَرَادُّكَ إِلَىٰ مَعَادٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah yang mewajibkan kepadamu (beramal dan menyampaikan) al-Quran (wahai Muhammad) sudah tentu akan menyampaikan kamu lagi kepada apa yang kamu ingini dan cintai.”
Tempat yang diingini dan dicintai itu adalah Mekah. Telah berkata al-Asma’iy: Aku telah mendengar seorang a’rabiy (orang asing) berkata: Sekiranya kamu ingin tahu akan keadaan seseorang itu, maka lihatlah bagaimana dia cintakan negaranya, rindukan ahli keluarganya dan tangisannya di atas masanya yang telah lalu.
Melihat kepada pandangan beberapa ulama hadis di atas, maka kami berpendapat bahawa hadis di atas adalah tidak sahih atau palsu. Justeru, kita tidak boleh untuk meriwayatkannya atau menyandarkannya kepada Nabi SAW melainkan untuk menyatakan akan kepalsuannya.
Meskipun hadis berkaitan sifat cintakan negara termasuk di dalam sebahagian tanda keimanan adalah tidak sahih daripada Nabi SAW. Akan tetapi, tidak salah seseorang itu untuk mencintai negaranya atau tempat lahirnya kerana ia termasuk di dalam fitrah manusia sehinggakan Nabi SAW juga mencintai tempat lahir Baginda SAW iaitu Mekah berdasarkan kepada sebuah hadis
Daripada Ibn Abbas R.anhuma, bahawa Nabi SAW berkata pada Mekah, maksudnya: “Alangkah baiknya dirimu wahai Mekah dan betapa cintanya diriku terhadapmu, seandainya kaumku tidak mengeluarkanku darimu, nescaya aku tidak akan tinggal selain daripadamu.” (Riwayat al-Tirmizi) -Hadis ini dinilai hasan sahih gharib oleh Imam al-Tirmizi.
Inilah serba sedikit makna sebuah kemerdekaan yang harus ada di dalam hati kita. Diakui memang membosankan apabila hendak menulis tentang kemerdekaan apalagi untuk menarik orang lain membacanya. Seribu kali bosan sebenarnya. Tapi…kena juga diingatkan walaupun orang tidak suka supaya kita tidak lupa.
Akhirnya, inilah kata-kata Za’ba mengenai kemerdekaan…“Berubah daripada kepercayaan bodoh yang melemahkan akal dan ikhtiar kepada kepercayaan yang cerdik yang membebaskan fikiran; daripada ajaran yang mematikan hati kepada ajaran yang menghidupkan dan menyuburkan dia; daripada i‘tiqad-i‘tiqad yang serong dan terpesong kepada i‘tiqad yang subur dan merdeka; daripada kezaliman pemerintahan berdasarkan hawa nafsu kepada kesolehan; dan daripada fikiran-fikiran yang menahankan dan menyekat kemajuan kepada fikiran yang membebaskan kemajuan dan menggalakkan kemaraan yang baik-baik dan mulia.”
Selamat Menyambut Kemerdekaan ke-67! bertemakan Malaysia MADANI – Jiwa Merdeka.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.