Oleh: Nafsiah Jani
Semua orang mempunyai bulu-bulu halus di muka dan tempat-tempat tertentu termasuklah bulu roma di kaki dan tangan. Jika seseorang itu yang genetiknya memang jenis berbulu, maka bulunya akan kelihatan lebat di sesetengah kawasan. Disebabkan ini ada sesetengah orang mempunyai rasa rendah diri kerana bulu-bulu halus tersebut.
Bagi mereka yang mempunyai banyak bulu-bulu halus jangan risau kerana ada banyak cara untuk menghilangkan bulu-bulu halus ini melalui kaedah tradisional dan moden. Cara tradisional mungkin tidak memerlukan kos yang mahal sebaliknya cara moden mungkin memerlukan kos yag mahal disebabkan penggunaan alat yang moden dan dilakukan di pusat-pusat rawatan kecantikan.
Bagi mereka yang ingin mencuba, dibawah ini kami paparkan beberapa cara tradisional dan moden untuk membuang bulu-bulu halus tersebut. Selamat mencuba. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada pembaca sekalian.
- Untuk hilangkan bulu-bulu halus terutamanya di atas bibir, tepi bibir dan kawasan pipi, campurkan 1 sudu serbuk kunyit bersama 1 sudu susu, kacau hingga bancuhan sebati dan pekat. Sapukan ke bahagian atas bibir dan kawasan yang mempunyai banyak bulu-bulu halus. Biarkan hingga kering dan barulah dibilas. Lakukan dengan kerap sehingga bulu-bulu tersebut hilang.
- Threading iaitu mencabut bulu dengan benang adalah cara mudah untuk membuang rambut dari kening, bibir, atau muka. Cara ini mempunyai hasil yang sama seperti waxing, tetapi mungkin kurang menyakitkan kerana tidak mencabut lapisan atas kulit. Teknik ini dapat membantu menghilangkan bulu-bulu halus selama empat hingga lapan minggu.
- Kisar 1 sudu besar oat hingga halus dan campurkan serbuk oat tadi dengan 2 sudu besar madu dan 2 sudu besar lemon sehingga jadi pes. Sapu pes di bahagian muka yang berbulu dan biarkan sehingga 15 minit dan cuci dengan air suam. Buat tiga kali seminggu dan anda akan dapat lihat sendiri bulu-bulu muka mulai berkurangan. Selepas mencuci muka, guna pelembap supaya kulit muka tidak kering.
- Ambil sedikit jus lemon dan campurkan dengan ½ cawan air dan 4 sudu tepung jagung. Kacau semuanya hingga jadi larutan yang likat. Sapukan pada bahagian muka seperti mask dan biarkan hingga kering dan barulah muka dicuci bersih. Lakukan empat kali seminggu, muka akan kelihatan bersih dan tiada lagi bulu-bulu halus.
- Ambil putih telur dan campurkan dengan 1 sudu besar gula dan ½ sudu besar tepung jagung. Kacau rata ketiga-tiga bahan sehingga hingga jadi pes. Sapukan pada kulit dan biarkan ia kering dan cuci dengan air. Lakukan tiga kali seminggu dan kesannya dapat dilihat apabila bulu roma ambil masa untuk tumbuh semula.
- Bawang putih mempunyai sulfur, selenium dan zink yang dapat membantu dalam proses penyingkiran bulu. Ambil beberapa ulas bawang putih, hancurkan dan keluarkan jus daripadanya. Celupkan kapas dalam jus ini dan sapukan pada kawasan kulit yang mempunyai bulu yang tidak diingini. Biarkan selama 15 – 20 minit dan basuh dengan air suam.
- Hancurkan sedikit betik muda dan masukkan 2 sudu serbuk kunyit bersama sedikit air. Jadikan pes dan sapukan ke seluruh muka dan badan anda. Biarkan selama 15 – 20 minit dan basuh. Buat sekali atau dua kali seminggu dengan kerap selama 2-3 bulan. Insya-Allah bulu-bulu halus akan hilang.
- Laser penyingkiran bulu muka adalah prosedur yang sangat popular. dilakukan di atas bibir, tepi, dan dagu. Setiap kali selepas rawatan laser, bulu akan tumbuh semula dari masa ke masa. Anda perlu menjalani rawatan semula setiap 4 hingga 10 minggu, bergantung kepada bahagian muka dan beberapa kali rawatan yang telah anda lakukan.
- Kisar kering kunyit hidup sampai jadi serbuk dan campurkan dengan sedikit air mawar dan kacau sampai jadi pes kunyit. Sapukan pes kunyit tadi ke bahagian ketiak dan biarkan selama 20-30 minit. Bilas dengan tuala yang telah direndam dengan air suam. Kunyit mengandungii antibakteria dan antiinflasi yang sangat bagus untuk melambatkan pertumbuhan bulu. Jika tiada air mawar, boleh juga digantikan dengan susu.
- Campurkan 2 sudu oat dengan sebiji pisang yang telah ditumbuk untuk dijadikan pes. Sapukan campuran ini pada kawasan yang diperlukan dan urut perlahan-lahan ke arah yang bertentangan dengan pertumbuhan bulu anda. Biarkan ia berehat selama 20 minit. Bilas dengan air sejuk dan keringkan. Gabungan oat dan pisang bukan sahaja dapat menghilangkan semua bulu yang tidak diingini tetapi juga mengurangkan pertumbuhan selanjutnya.

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.