Kini Jac muncul dengan album "Glorious" yang dirakam di Amerika Syarikat.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SEMPENA dua dekad perjalanan seninya, juara program Malaysia Idol musim pertama, Jaclyn Victor, 47, tampil dengan hadiah istimewa buat peminat kesayangan yang menyokong kariernya selama ini.

Sebagai tanda penghargaan untuk mereka, Jaclyn atau mesra dengan pangilan Jac telah pelancaran album terbaharu, “Glorious”, yang diedarkan oleh syarikat rakaman Sony Music Malaysia.

Album “Glorious” tampilkan sisi baharu Jaclyn Victor dalam karya seni.

Album ini dirakam dan diterbitkan sepenuhnya di Amerika Syarikat dengan kerjasama penulis dan penerbit Malaysia yang berpangkalan di New York iaitu Gerald Sellan dan Adrian Puan. “Glorious” menampilkan sembilan buah lagu, tujuh dalam bahasa Melayu dan dua dalam bahasa Inggeris.

“Saya mahu melakukan sesuatu yang berbeza sempena ulang tahun ke-20 pembabitan saya dalam industri muzik. Album ini adalah kesayangan saya dan sebab itulah saya sanggup berhabis banyak wang demi menghasilkan album ini.

Sudah 20 tahun Jac terbabit dalam bidang seni dan berjaya meraih pelbagai anugerah.

“Semua lagu dalam album ini direka khas untuk saya, bukan koleksi lagu dariapda mana-mana penyanyi lain. Album ini adalah hasil kerjasama antara saya dengan dua kawan baik saya iaitu Gerald Sellan dan Adrian Puan.

“Mereka yang memahami semua cabaran dan perasaan saya sepanjang karier. Mereka menulis lirik berdasarkan kisah hidup saya. “Glorious” membawa sisi baharu saya sebagai seorang penyanyi dengan sentuhan muzik yang lebih segar,” kongsi Jac tentang buah tangan terbaharunya itu.

Album ini menawarkan kepelbagaian muzik, daripada karya rock bertenaga tinggi seperti “Inilah Saatnya”, pop kontemporari seperti “Lepaskan Saja”, hinggalah ke balada penuh emosi iaitu “Sesal Tak Bermakna” dan “Airmataku”.

Album terbaharu Jac menampilkan kepelbagaian muzik.

Dengan susunan lagu yang bervariasi, album ini membawa pendengar dalam sebuah perjalanan emosi yang bakal menyentuh hati peminat lama serta menarik perhatian generasi baharu.

Lagu utama album ini, “Glorious”, merupakan versi Inggeris kepada lagu ikonik “Gemilang”, yang dikeluarkan pada 2004 dan sekali gus menjadi simbol kejayaan buat Jac selama ini.

Dengan mengambil inspirasi daripada lagu-lagu terkenal, susunan baharu lagu ini menampilkan elemen moden yang digabungkan dengan kehebatan vokal Jac, namun masih mengekalkan semangat asal “Gemilang”.

Lagu “Glorious”, merupakan versi Inggeris kepada lagu ikonik “Gemilang”.

Bagi memastikan lagu-lagu dalam album ini mencerminkan perjalanan seni dan kisah hidup juara Gegar Vaganza musim kesembilan (2022) dan All Stars Gegar Vaganza (2023), komposer dan penulis lirik mengambil masa berbulan lamanya memahami kisah jatuh bangunnya sebagai seorang wanita dalam industri muzik.

“Glorious” bukan sekadar album, tetapi sebuah koleksi lagu yang mengangkat tema cinta yang hilang dan ditemui kembali, kepercayaan terhadap diri sendiri, serta ketabahan dalam menghadapi cabaran.

Album “Glorious” kini boleh didengari di kesemua platform penstriman utama seperti Spotify, Joox, Apple Music dan YouTube Music.

Previous articleWow…Menu “Set Talam” hidangan berbuka puasa di Restoran Rasa Rosz Wangsa Maju dan IOI City Mall Putrajaya
Next article“Masing Masing” bawa tuah kepada Ernie Zakri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here