Ernie Zakri berjaya mengumpul peminat di Indonesia menerusi lagu "Masing Masing" ciptaan Ade Govinda.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PADA acara Anugerah Juara Lagu ke-39 baru-baru ini, Ernie Zakri dinobat sebagai pemenang untuk kategori Vokal Terbaik menerusi lagu “Aura” yang merupakan album studio keduanya bersama Universal Music Malaysia yang dikeluarkan pada 2023.

Ernie yang sudah 15 tahun membabitkan diri dalam bidang seni sering memukau ramai dengan vokal mantapnya, tahap nyanyian hebat, dan corak persembahan pentas yang mengagumkan.

“Masing Masing” dijadikan runut bunyi untuk drama “Luka Cinta” di Indonesia.

Siapa pun tidak menduga menerusi album “Aura” yang memuatkan 10 lagu termasuk single “Masing Masing” yang berentak balada itu, nama Ernie terus mencanak naik dan lagu tersebut dilihat begitu kukuh mendominasi carta-carta muzik tempatan dan disukai pendengar sekitar rantau Asia Tenggara.

Lagu ciptaan Ade Govinda dan lirik bersama Nabila V itu turut dijadikan satu daripada runut bunyi drama rantaian popular Indonesia berjudul “Luka Cinta” sehingga mencetus fenomena di peringkat Nusantara.

Di Malaysia, “Masing Masing” diiktiraf Industri Rakaman Malaysia (Persatuan Kebangsaan Malaysia untuk Persekutuan Antarabangsa dari Industri Fonografik (INFPI)) sebagai pemegang rekod lagu nombor satu paling lama bertahan dalam carta domestik RIM, mendominasi selama 27 minggu.

Kejayaan lagu “Masing Masing” membawa rezeki kepada Ernie yang dilantik sebagai ikon rasmi kempen Lawat Malaysia 2026.

Pengarah Urusan Universal Music Malaysia, Kim Lim berkata, Ernie adalah bukti kejayaan terbesar untuk inisiatif ‘Nusantara’ label tersebut.

“Ernie meraih pengiktirafan mengagumkan sebagai artis sulung Malaysia melakar sejarah menduduki tangga tertinggi carta IFPI di tiga negara iaitu Indonesia, Malaysia, dan Singapura dengan “Masing Masing”.

“Kini, inisiatif untuk terus maju ke depan adalah dengan fokuskan kepada strategi Ernie iaitu menguatkan lagi hubungannya bersama peminat menerusi pengalaman menyantuni peminat setianya.

Turut diintai pelbagai jenama besar untuk pengiklanan.

“Ia termasuk melancarkan lebih banyak lagu, tingkatkan interaksi dengan peminat di aneka platform, dan merancakkan lagi acara persembahan secara langsungnya. Itu adalah sebahagian kunci penting visi kami buat Ernie pada masa mendatang.

“Keterujaan terhadap industri muzik sekarang membuka pelbagai peluang untuk meneroka laluan berbeza buat muziknya, termasuk kolaborasi di peringkat global bersama artis antarabangsa dan pemuzik seluruh dunia,” katanya.

Dengan lebih 130 juta penstriman di Spotify, Masing Masing adalah lagu Melayu paling tertinggi distrim menerusi platform itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Universal Music Africa, Timur Tengah dan Asia, Adam Granite turut mengucpkan tahniah di atas kejayaan yang diraih oleh Ernie itu.

Ernie meraih pelbagai pujian kerana bakatnya yang tersendiri.

“Pelbagai kejayaan diraih menerusi carta ini saja sudah membuktikan perkembangan trend dalam industri muzik global memandangkan artis dari seluruh dunia menikmati kejayaan baik di peringkat domestik mahupun pentas dunia,” katanya.

Bagi Ernie sendiri, kejayaan yang diraih kebelakangan ini adalah rezeki yang tak diduga. Sewaktu mengumumkan akan menjayakan konsert pada 25 Januari lalu, tiket untuk konsert tersebut habis terjual dalam tempoh tujuh jam sahaja.

Satu lagi pencapaian manis dalam kariernya, apabila dilantik sebagai ikon rasmi kempen Lawat Malaysia 2026 oleh Badan Promosi Pelancongan Malaysia dengan menyanyikan lagu temanya berjudul “Surreal Experiences”.

Berkongsi pencapaian-pencapaian itu, Ernie berkata, beliau cukup terharu dengan sokongan tanpa henti terhadap “Masing Masing”. Malah kembara itu menjadi bukti kepada kasih sayang serta jalinan peminat terhadap muziknya.

Bakal mengadakan konsert di Singapura pula pada Mei ini.

Menyemarakkan lagi pencapaian muzikalnya, Ernie turut mengumpul pengikut media sosial yang cukup ampuh, dengan keseluruhannya 2.6 juta pengikut daripada pelbagai platform.

Dengan jumlah ikutan cukup tinggi itu, Ernie menjadi sorotan jenama-jenama besar serta sudah bekerjasama dengan pengiklan ternama termasuk Eucerin dan Samsung.

Semakin meraih pelbagai pujian, sinar pesona bintang Ernie kian menyala kala ini, mengukuhkan lagi legasinya sebagai bakat luar biasa yang ada di Asia Tenggara.

Previous articleJaclyn Victor nyanyi lagu Gemilang versi Inggeris
Next article‘Syawal Membayu’ imbau suasana raya di kampung!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here