Oleh: Nury Kadir

Ramadan sudah jauh meninggalkan kita walaupun baru tiga hari lepas ia pergi. InsyaAllah jika ada rezeki dan panjang umur Ramadan akan datang muncul semula 11 bulan dari sekarang. Walau kita menangis dan merayu agar Ramadan jangan pergi lagi tapi ia tetap pergi meninggalkan kita. Semoga Allah menerima segala amalan kita sepanjang bulan Ramadan yang lalu.

Sekarang masanya untuk menyambut Hari Raya dengan menghidupkan sunnah berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik. Sunat memakai baju baharu sempena Aidilfitri, namun jika tiada, disunatkan memakai pakaian yang hampir dengan baju yang baharu.

Berikut adalah beberapa petikan artikel dari www.muftiwp.gov.my. tentang Hari Raya. Pertama adalah tentang baju raya. Kedua adalah tentang ucapan hari raya, apakah ucapan yang afdal? Ketiga adalah duit raya yang paling kanak-kanak suka.

Seperti yang dicatatkan di dalam www.muftiwp.gov.my. bahawa Rasulullah SAW juga berhias semasa menyambut Hari Raya. Perkara ini dapat dilihat melalui perbuatan sahabat Nabi SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar:

أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ، فَأَخَذَهَا، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالوُفُودِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ»

Maksudnya: “Umar mengambil jubah dari sutera tebal yang dijual di pasar. Beliau mengambilnya dan memberikan jubah tersebut kepada Rasulullah SAW dan mengatakan, “Wahai Rasulullah belilah jubah ini, berhias dengannya untuk hari raya dan menerima kunjungan tetamu. Maka Rasulullah SAW mengatakan kepada Umar: “Sesungguhnya ini adalah pakaian yang tidak dapat bahagian (di akhirat).” (HR Bukhari)

Menurut Abu al-Hasan al-Sindi, hadis tersebut menyatakan bahawa berhias pada Hari Raya termasuk kebiasaan yang sudah lama wujud di kalangan para sahabat, dan Nabi SAW juga tidak mengingkarinya. Hal ini juga dinamakan Hari Raya dengan hari berhias.

Firman Allah SWT:

قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحًى

Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan (hari berhias diri), dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu Duha” (Surah Taha:59)

Menurut al-Nawawi, memakai minyak wangi dan berhias pada kedua-dua perayaan tersebut adalah sunnah seperti pada hari Jumaat. Begitu juga menurut al-Zuhaili bahawa, disunatkan memakai minyak wangi lelaki dengan sebaik-baik wangian yang didapati berdasarkan hukum yang diqiaskan dengan hukum pada hari Jumaat.

Manakala al-Baijuri pula membahaskan maksud pakaian pada hari Jumaat. Disunatkan baju yang dipakai pada solat Jumaat dengan baju yang baru. Jika tidak ada baju baru maka disunatkan dengan baju yang setara dengannya. Disunatkan juga agar imam menambahkan keterampilannya yang baik kerana dia diperhatikan (oleh orang ramai).

Ucapan Hari Raya

Imam al-Suyuti di dalam kitabnya Wusul al-Amani bi Usul al-Tahani menghimpunkan hadis-hadis berkaitan ucapan-ucapan tahniah sama ada pada Hari Raya atau selainnya. Antara riwayat yang beliau sebutkan dalam buku tersebut ialah ucapan pada Hari Raya:

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu.”

Mengenai ucapan Hari Raya ini terdapat sebuah riwayat seperti yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, berkata Khalid bin Ma’dan:

لَقِيتُ وَاثِلَةَ بْنَ الْأَسْقَعِ فِي يَوْمِ عِيدٍ، فَقُلْتُ: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ، فَقَالَ: ” نَعَمْ، تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ “، قَالَ وَاثِلَةُ: ” لَقِيتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ عِيدٍ فَقُلْتُ: تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ، قَالَ: ” نَعَمْ، تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكَ

Maksudnya: “Aku bertemu dengan Wasilah bin al-Asyqa’ lalu aku berkata – semoga Allah menerima amalanku dan amalan kamu – lalu Wasilah bin al-Asyqar’ berkata- ya, semoga Allah menerima amalanku dan amalan kamu – dan beliau berkata lagi – Aku pernah bertemu Rasulullah SAW pada Hari Raya kemudian aku berkata kepada Nabi SAW: “Semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu.” Dan Nabi SAW membalas: “Ya, semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu.”

Wasilah bin al-Asyqa’ menyandarkan riwayat ini kepada Nabi SAW (Hadis marfu’) namun Ibn Adi yang meriwayatkan hadis ini dalam kitabnya al-Kamil mengatakan bahawa riwayat ini merupakan riwayat yang mungkar. Terdapat perawi bernama Muhammad bin Ibrahim al-Syami beliau seorang munkar al-hadis di samping itu menurut al-Sakhawi dan Mula Ali al-Qari riwayat yang lebih kuat ialah riwayat yang mauquf dan bukannya marfu’.

Walau bagaimanapun terdapat riwayat daripada Jubair bin Nufair yang menyebutkan bahawa para sahabat RA apabila bertemu mereka akan saling mengucapkan: “Semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu.” Riwayat ini dinilai hasan oleh Imam Ibn Hajar al-Asqalani dan begitu juga Imam al-Suyuti. Selain itu, dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa Talhah RA mengucapkan tahniah kepada Kaab RA di atas taubatnya.

Di kalangan ulama mazhab Syafi’i yang awal tidak ada yang menyebutkan berkenaan ucapan tahniah pada Hari Raya namun al-Hafiz al-Munziri berpandangan bahawa hukum mengucapkan tahniah adalah harus dan bukannya sunat ataupun bidaah. Manakala Imam Ibn Hajar al-Asqalani berpandangan hukum mengucapkan tahniah adalah disyariatkan berdasarkan riwayat-riwayat yang banyak yang meskipun berstatus lemah namun ia boleh digunakan dalam bab fadail amal.

Maka boleh dan digalakkan untuk mengucapkan yang diucapkan oleh para sahabat iaitu

تَقَبَّلَ اللهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Maksudnya: “Semoga Allah menerima amalanku dan amalanmu.”

Berbanding mengucapkan Selamat Hari Raya kosong kosong, apa itu maknanya? Apa yang diucapkan oleh para sahabat itu dalam bentuk doa yang baik dan saling mendoakan antara satu sama lain. Apa kata kita ubah sekarang kepada ucapan yang lebih bermakna.

# Ikuti sambungan artikel akan datang mengenai adab-adab berhari raya.

Previous articleSelamat Hari Raya Aidilfitri 2025
Next articleNak “Zapin Malam Raya” atau “Raya Twist”, mana pilihan anda? 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here