Cakra Khan terharu kerana dapat menjayakan konsert tiga tahun berturut-turut di lokasi yang sama, Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Shiraz Projects

MELIHAT kepada senario muzik masa kini, boleh dikatakan, penyanyi tempatan agak kurang menjayakan konsert berskala besar kerana penganjur ternama kurang yakin dengan kredibiliti mereka.

Justeru itu, penganjur berkenaan lebih suka menganjurkan konsert artis luar di sini berbanding artis tempatan atas alasan permintaan daripada peminat yang ingin menonton artis kesukaan mereka secara langsung. Persoalannya, adakah artis tempatan tak ada peminat?

Oh! Artis tempatan mudah dilihat kalau berkunjung ke karnival sudah dapat tonton penyanyi sama ada solo atau berkumpulan mengadakan persembahan. Disebabkan belum ada kesempatan menjayakan konsert berskala besar, maka artis tempatan terpaksa juga beraksi di karnival sebegitu bagi mencari rezeki.

Tertarik dengan keunikan Trio XL sejak dia menjadi juri untuk program Calpis Soda One In A Million yang disertai trio tersebut.

Beza situasinya dengan artis luar yang sering diundang menjayakan konsert berskala besar di Malaysia. Mereka lebih beruntung berbanding artis tempatan yang ada ketikanya terpaksa menagih untuk meminta penganjur menguruskan konsert mereka.

Antara artis luar yang lebih beruntung daripada penyanyi tempatan adalah Cakra Khan yang baru selesai menjayakan ‘Cakra Khan Divine Live In Concert’ di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 2 Ogos lalu.

Cakra atau Cakra Konta Paryaman, 33, penyanyi kelahiran Pangandaran, Jawa Barat, Indonesia, itu berterima kasih kepada peminat-peminat di Malaysia kerana mula menyokong perjalanan seninya sejak lagu “Harus Terpisah” (2013) yang membuatkan namanya mula dikenali di sini.

Berduet dengan Marsha Milan untuk lagu “Seluruh Cinta Ini”.

“Sebenarnya, selepas ini saya mengambil keputusan untuk berehat daripada konsert di sini. Sudah tiga tahun berturut-turut rasanya saya mengadakan konsert di Malaysia.

“Namun saya belum tahu berapa lama akan berehat. Cuma, kenapa saya ambil keputusan ini (berehat dari konsert di Malaysia) kerana mahu memberikan lagu baharu pula.

“Saya mahu apabila kembali semula mengadakan konsert di sini nanti, penonton dan peminat saya akan dapat mendengarkan karya lagu yang lebih segar dan tidak hanya mengulangi lagu sama sahaja,” katanya sebelum mendendangkan lagu “Harus Terpisah” yang dinanti-nanti oleh 2,500 penonton pada malam itu.

Beraksi bersama Ade Govinda untuk tiga lagu termasuk” Masing-Masing” dan “Hal Hebat”.

Sejak namanya mula menyerlah di sini dan kerap berulang-alik ke Malaysia, Cakra telah menjayakan konsert solo seperti ‘Cakra Khan – A Decade Live in Kuala Lumpur 2.0’ di Plenary Hall, KLCC pada 17 Februari 2024 dan ‘Cakra Khan – A Decade Live in Kuala Lumpur 2023’ di Plenary Hall, KLCC pada 20 Januari 2023.

Itu belum lagi kehadirannya menjayakan konsert bersama artis lain seperti Dream Festival Collaboration Vol. 4 di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2024. Malah Cakra yang merupakan peserta program America’s Got Talent 2023 pernah menjadi penyanyi jemputan untuk konsert Rossa, ‘Another Journey the Beginning di Kota Kinabalu, Sabah pada 8 Disember 2023.

Cakra yang mendendangkan 26 buah lagu dengan gubahan muzik baharu yang lebih segar dan menghiburkan turut berkongsi cerita bagaimana dulu, dia akan dibawa oleh arwah bapanya menunggang motor keliling kampung mencari rumah orang kahwin.

Lagu “Layar” adalah kolaborasi Cakra bersama Titi DJ untun runut bunyi filem “Siapa Dia” ciptan Faizal Lubis.

“Orang pertama yang mahu saya jadi penyanyi adalah bapa. Biasanya, kami akan naik motor dan pergi ke majlis perkahwinan untuk saya nyanyi walaupun kami tak diundang untuk majlis tersebut.

“Tanpa sokongan orang sekeliling, saya bukanlah siapa-siapa. Saya cuba pelbagai pertandingan. Saya juga pernah nyanyi di tepi jalan. Tapi saya belajar dan enjoy the proses,” katanya yang mendendangkan lagu “Rindu Tak Bersuara” yang didedikasikan kepada arwah bapanya.

Cakra yang berganti tiga pasang pakaian itu turut membuat dewan menjadi gamat apabila dia mendendangkan lagu “Bunyi Gitar” daripada seniman agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang menjadi idolanya.

Memilih lagu “Bunyi Gitar” dendangan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee.

“Saya suka dengan lagu-lagu P Ramlee dan juga mengidolakannya. Semoga pada masa akan datang, saya boleh nyanyi banyak lagi lagu Allahyarham,” katanya.

Jika lagu “Bunyi Gitar” membuatkan penonton turut menari twist di tempat duduk masing-masing, tatkala dia mendendangkan lagu “Mencintaimu” dengan iringan keyboard dan cello, seluruh dewan seakan sepi, hanya kedengaran lantunan suaranya saja.

Sungguh menakjubkan dendangan Cakra kerana lagu dendangan oleh Krisdayanti yang disampaikannya itu menusuk jiwa. Baginya, lagu tersebut sangat luar biasa dan dia berusaha mendendangkan lagu itu dengan sebaik mungkin.

Sempat turun pentas untuk menyantuni penonton.

Malah Cakra turut memohon maaf kepada penonton, jika pada malam itu sedikit emosi kerana sebagai penyanyi, dia tidak dapat menyembunyikan rasa terharunya kerana dapat mengadakan persembahan di tempat yang sama untuk tiga tahun berturut-turut.

Sebagai tanda terima kasih kepada peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya, Cakra melahirkan rasa itu menerusi lagu “I Will Always Love You” (Whitney Houston) sebagai penutup persembahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here