DJ Fuzz, Ernie Zakri dan Syamel dipilih untuk menjayakan sambutan tahun baharu di Grand Ballroom, Le Meridien, Petaling Jaya pada 31 Disember nanti.

Oleh: Khadijah Ibrahim

BELUM selesai menjayakan konsert Empat Live In Kuala Lumpur 2025 pada 18 Oktober ini di Mega Star Arena Kuala Lumpur, Ernie Zakri dan Syamel telah dilamar untuk menjayakan konsert lain pula.

Pasangan suami isteri itu dilamar oleh Hotel Le Méridien Petaling Jaya dengan kolaborasi eksklusif bersama Universal Music Malaysia untuk menjayakan sambutan malam Tahun Baharu yang bakal berlangsung pada 31 Disember 2025 di Grand Ballroom hotel tersebut.

Ernie dan Syamel yang merupakan ibu bapa kepada Nur Khawla Soleha, 3, itu bakal mengadakan persembahan selama tiga jam menerusi rangkaian lagu-lagu hit dan klasik yang membangkitkan emosi serta kenangan.

Lebih istimewa, DJ Fuzz akan menghidupkan suasana menjelang detik 12 malam dengan set muzik yang penuh bertenaga untuk menyambut kehadiran tahun baharu 2026.

Ernie atau nama lengkapnya, Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, ‘Nostalgia’ bukan sekadar makan malam, malah menjanjikan persembahan penuh eksklusif.

“Saya amat menantikan peluang untuk bersama peminat dalam suasana yang begitu eksklusif dan peribadi. ‘Nostalgia’ ini bukan sekadar konsert, ia adalah malam yang membolehkan saya berkongsi kenangan, emosi dan suara hati saya secara langsung kepada semua tetamu yang hadir.

“Persembahan pada acara ini diharap dapat meninggalkan momen yang akan dikenang sampai bila-bila. Semoga yang hadir dapat merasai apa yang saya rasakan dan membawa pulang memori indah,” katanya.

Persembahan ‘Nostalgia’ adalah kerjasama antara Le Meridien Petaling Jaya dengan Universal Music Malaysia.

Bagi Syamel atau nama sebenar Syameel Aqmal Mohd Fodzly, 32, mengakui, dia tidak sabar untuk memberikan persembahan hebat pada malam ‘Nostalgia’ itu.

“Sebagai seorang penghibur, tiada yang lebih bermakna daripada mengakhiri tahun dengan mereka yang menghargai muzik saya. ‘Nostalgia’ adalah pentas untuk saya merakamkan rasa syukur, dan saya janji akan berikan yang terbaik malam itu,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Le Méridien Petaling Jaya Christopher Moore berkata, ‘Nostalgia’ bukan sekadar sambutan tahun baharu, ia adalah penghormatan kepada muzik sepanjang zaman, momen bermakna dan hospitaliti bertaraf dunia.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Universal Music Malaysia dalam mencipta pengalaman eksklusif yang mengangkat semangat perpaduan dan kegembiraan menyambut permulaan baharu.
Tetamu yang hadir akan disajikan dengan empat hidangan premium Barat yang direka khas oleh pasukan kulinari Le Méridien Petaling Jaya, menambah sentuhan rasa pada malam penuh magis yang menggabungkan muzik, makanan dan memori.

Untuk yang ingin menyambut tahun baharu di hotel tersebut bolehlah membuat tempahan meja mengikut keselesaan anda. Terdapat empat kategori meja yang ditawarkan iaitu Platinum – RM13,999, untuk lokasi utama (depan pentas). Selain itu, pemegang tiket untuk kategori ini akan menyertai sesi Meet & Greet, lounge VIP, hadiah eksklusif, minuman sparkling juice tanpa had dan penginapan diskaun 50%.

Manakala meja Diamond – RM10,888 yang lokasinya berhampiran pentas, penonton berpeluang bersesi foto berkumpulan, set hadiah VIP, servis mocktail dan diskaun 30% penginapan.

Untuk meja Gold – RM8,000, anda akan mendapat minuman alu-aluan, beg hadiah standard dan diskaun 20% penginapan. Sementara meja Silver – RM6,000, anda layak untuk mendapat diskaun 20% penginapan. Tempat duduk individu juga ditawarkan untuk kategori Silver dan Gold.

Tawaran Awal atau ‘Early Bird Exclusive’ (Bermula 1 Ogos – 1 Oktober 2025). Nikmati penginapan percuma satu malam apabila anda membeli meja kategori: Silver & Gold – 1 bilik dan Diamond & Platinum – 2 bilik.

Tiket dan tempahan boleh dibuat bermula 8 Ogos ini di laman web rasmi www.nostalgianye.my (dikuasakan oleh TWIPORT Sdn Bhd)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here