Oleh : Nury Kadir
Terdapat fadilat-fadilat yang sahih berkenaan surah al-Ikhlas (sperti yang tercatat di dalam www.muftiwp.gov.my):
1. Allah SWT mencintai orang yang mencintai Surah al-Ikhlas
Daripada Aisyah R.anha;Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW mengutus seseorang kepada sekelompok pasukan, dan ketika orang itu mengimami sahabat-sahabatnya yang lainnya di dalam solat mereka dan beliau mengakhiri bacaannya dengan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ, maka apabila mereka pulang, mereka menceritakan hal itu kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda pun bersabda: “Tanyalah beliau, mengapa beliau berbuat demikian?” Lalu mereka bertanya kepadanya. Beliau pun menjawab: “Kerana surah ini (mengandungi) sifat al-Rahman, dan aku mencintai membaca surah ini,” lalu Nabi SAW bersabda: “Beritahu beliau, sesungguhnya Allah pun mencintainya” (HR al-Bukhari)
2. Al-Ikhlas bersamaan sepertiga al-Quran
Daripada Abu Sa`id al-Khudri RA: Maksudnya: “Sesungguhnya seseorang mendengar orang lain membaca قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ dengan berulang kali, lalu dia datang bertemu Rasulullah SAW dan menceritakan hal itu kepadanya, dan seolah-olah orang itu menganggap remeh surah itu, maka bersabdalah Rasulullah SAW : “Demi Dzat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al Qur`an.” (HR Hadis al-Bukhari)
3. Surah al-Ikhlas penyebab masuk Syurga
Daripada Abu Hurairah RA: Maksudnya: “Aku datang bersama Rasulullah SAW lalu aku dengar seorang lelaki membaca قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ اللَّهُ الصَّمَدُ. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Telah wajib.” Aku bertanya: “Apa yang telah menjadi wajib?”. Kata Baginda: “Syurga (baginya).” (HR al-Tirmidzi dalam Sunan. Beliau berkata: “Hadis hasan sahih gharib.)
4. Menjadi perlindungan dengan izin Allah SWT, jika dibaca bersama Surah al-Alaq dan Surah al-Nas.
Daripada `Uqbah bin `Amir al-Juhani RA berkata: Maksudnya: Ketika mana aku memimpin kenderaan Rasulullah SAW dalam sebuah peperangan, tiba-tiba Baginda bersabda: “Wahai Uqbah, katakanlah,” Aku pun mendengarkan, kemudian beliau berkata (lagi): “Wahai Uqbah, katakanlah,” Aku pun mendengarkan. Dan Baginda mengatakannya sampai tiga kali, lalu aku bertanya: “Apa yang perlu aku katakan?” Baginda pun bersabda: “Katakan قُلْ هُوَ اللهُ أَحَدٌ”, lalu Baginda membacanya sampai selesai. Kemudian Baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ الفَلَقِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian Baginda membaca قُلْ أَعُوْذُ بِرَبِّ النَّاسِ, aku pun membacanya bersamanya hingga selesai. Kemudian Baginda bersabda: “Tidak ada seorang pun yang berlindung (dari segala keburukan) seperti orang orang yang berlindung dengannya (tiga surat) tersebut” (HR al-Nasaie)
Ini pula hadis daripada Aisyah R.anha mengenai amalan Rasululllah SAW sebelum tidur.
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَوَى إِلَى فِرَاشِهِ كُلَّ لَيْلَةٍ جَمَعَ كَفَّيْهِ ثُمَّ نَفَثَ فِيهِمَا فَقَرَأَ فِيهِمَا {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} وَ{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ} ثُمَّ يَمْسَحُ بِهِمَا مَا اسْتَطَاعَ مِنْ جَسَدِهِ يَبْدَأُ بِهِمَا عَلَى رَأْسِهِ وَوَجْهِهِ وَمَا أَقْبَلَ مِنْ جَسَدِهِ يَفْعَلُ ذَلِكَ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ
Maksudnya: Bahawa Nabi SAW apabila menuju ke pembaringannya (untuk tidur) setiap malam, Baginda akan menghimpunkan kedua tangannya (yakni menadah tangan) dan meniupnya setelah Baginda membaca Surah al-Ikhlas, al-Falaq, dan al-Nas, kemudian menyapu kedua-dua tapak tangannya pada tempat yang mampu dicapai olehnya dari setiap tubuhnya, dimulakan dari kepala, muka, dan apa yang boleh ditemui daripada badannya, sebanyak tiga kali.” (HR al-Bukhari)
5. Surah al-Ikhlas dalam amalan orang-orang soleh (dipetik dari bukuAmalan Orang Soleh- Ustaz Muhadir Haji Jol)
Selain daripada hadis yang disebutkan di atas, ada beberapa amalan orang soleh antaranya:
Memelihara diri daripada gangguan makhluk
Amalan yang diajarkan oleh Syeikh Soleh bin Ahmad al- Qaddahi (Sik Kedah). Selepas solat fardu, sebelum bangun dari tempat duduk, duduklah dengan tenang dan bacalah: surah al-Ikhlas 11 kali, kemudian baca Hasbunallah wanikmal wakil” (حَسْبُنَا ٱللَّٰهُ وَنِعْمَ ٱلْوَكِيلُ) (Cukuplah Allah bagi kami dan Dialah sebaik-baik Pelindung.)

Rezeki melimpah.
Amalan yang diwasiatkan oleh Habib Thohir Bin Abdullah Sumaith kepada Habib Umar Bin Ahmad Sumaith, “Hendaklah kamu membaca Ayatul Kursi dan surah al-Ikhlas ketika masuk dan keluar dari rumah kerana kedua-duanya boleh mendatangkan kekayaan nampak dan tidak nampak.”
Membaca surah al-Waqi’ah (sekali) dan surah al-Ikhlas (11 kali) setiap kali selepas solat fardu sangat mujarab untuk mendapatkan rezeki yang nampak,” (amalan Habib Zain bin Ibrahim Sumaith)
Selepas kematian.
Selepas jenazah dikebumikan, tunggu sebentar di kuburan dan bacakan surah al-Ikhlas 11 kali di sebelah bahagian kepala jenazah. Setelah itu sebaik-baiknya dikhatamkan surah al-Baqarah sebelum meninggalkan pusara arwah.
Menurut Imam Hambali, “Sesiapa melalui satu tanah perkuburan lalu dia membaca surah al-Ikhlas 11 kali, kemudian dihadiahkan kepada kubur maka dia mendapat pahala sebanyak mana jenazah yang ditanam di situ.”
Sebelum berakhir ditinggalkan dengan dua doa. Ini adalah pesan daripada seorang guru agama, agar tidak meningggalkan doa ini yang boleh dibaca pada bila-bila masa. Setiap kali selepas solat fardu sebelum berdoa mulakan dengan doa ini nescaya doanya tidak akan ditolak oleh Allah.
Doa ini adalah penyerahan, pengakuan dan kebergantungan kita hanya kepada Allah. Penuh yakin bahawa hanya Allah yang satu, tempat segala makhluk bergantung, ketika doa itu dibaca maka sesulit apa pun masalah yang dihadapi pasti ada jalan penyelesaian. Walaupun ketika berasa tidak ada lagi harapan meneruskan perjalanan hidup, terus amalkan doa ini tanpa jemu. Jika tidak hari ini doa kita dimakbulkan, mungkin Allah tangguhkannya hingga ke suatu saat di mana kita amat memerlukan keajaiban.
Daripada Buraidah bin al-Hasib RA:
أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَمِعَ رَجُلًا يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ أَنِّي أَشْهَدُ أَنَّكَ أَنْتَ اللَّهُ، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، الْأَحَدُ الصَّمَدُ الَّذِي لَمْ يَلِدْ، وَلَمْ يُولَدْ، وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ، فَقَالَ: لَقَدْ سَأَلْتَ اللَّهَ بِالِاسْمِ الَّذِي إِذَا سُئِلَ بِهِ أَعْطَى، وَإِذَا دُعِيَ بِهِ أَجَابَ
Maksudnya: Bahawa Rasulullah SAW mendengar seorang lelaki berdoa: “Ya Allah, sesungguhnya aku meminta kepada-Mu, bahwa diriku bersaksi sesungguhnya Engkau adalah Allah yang tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Engkau Yang Maha Esa, Yang bergantung kepada-Mu segala sesuatu, Yang tidak beranak dan tidak pula diperanakkan, dan tidak ada seorang pun yang setara dengan-Nya,” kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Sungguh dirimu telah meminta kepada Allah dengan nama-Nya, yang jika Dia diminta dengannya (pasti akan) memberi, dan jika Dia diseru dengannya, (pasti akan) mengabulkannya”. (HR Abu Daud (1493)
Dan, ini pula dalah doa yang dititipkan oleh Datuk Dr. Zulkifli Al-Bakri;
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









