Oleh: Khadijah Ibrahim
PERTAMA kali datang ke Kuala Lumpur untuk mengadakan persembahan, penghibur dari United Kingdom, England, terus ‘berkampung’ selama dua malam berturut-turut di Zepp Kuala Lumpur.
Bagaimana kumpulan Saturday Night Bee Gees yang dianggotai oleh Brian Allen, Mark Garrity, Ted Golding, Will Rayson, Carol Golding dan John Andrews boleh beraksi pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu dengan kehadiran penonton yang luar biasa.
Mungkin ada juga di antara kita yang tertanya, siapa kumpulan ini kerana mereka bukanlah penyanyi atau pemuzik muda tapi usia mereka seiring dengan kematangan karya-karya tersohor dendangan kumpulan adik-beradik Bee Gees.

Rupa-rupanya, lebih 15 tahun Saturday Night Bee Gees telah memikat penonton di seluruh dunia dengan gaya persembahan, suara dan karisma yang hampir sama seperti kumpulan asal Bee Gees.
Kalau sebut nama Bee Gees yang ditubuhkan pada 1958 oleh Barry, Robin dan Maurice Gibb pasti peminat muzik khususnya yang meminati irama disko mengenali kumpulan tersebut yang cukup popular pada akhir 60-an dan awal 70-an.
Lagu dendangan Bee Gess, antaranya, “Stayin’ Alive”, “Night Fever”, “How Deep Is Your Love”, “Words”, “Massachusetts”, “More Than A Woman”, If I Can’t Have You”, “Grease”, “You Should Be Dancing” dan “Tragedy” masih diminati hingga kini.
Justeru itu, walaupun lagu-lagu tersebut tidak didendangkan oleh anggota asal Bee Gees (yang masih hidup Barry), namun peminat-peminat kumpulan tersebut tetap hadir menyokong penampilan sulung Saturday Night Bee Gees di Asia.

Konsert bertemakan ‘Saturday Night – Celebrating Bee Gees’, anjuran Milestone Production itu ibarat kapsul masa yang membawa para peminat kembali ke zaman kegemilangan disko.
Kehadiran penonton bukan sekadar tentang muzik hebat tapi ia juga merupakan sambutan yang sarat dengan nilai kemanusiaan. Persembahan perdana tersebut diadakan bagi menyokong Tabung Pendidikan Tuanku Ja’afar, menjadikan malam tersebut lebih bermakna.
Kumpulan ini menampilkan persembahan yang luar biasa, lengkap dengan harmoni vokal yang sempurna, kehadiran pentas yang bertenaga serta visual yang menakjubkan, menghidupkan semula legasi adik-beradik Gibb.
‘Saturday Night – Celebrating Bee Gees’ bukan sekadar sebuah konsert. Ia adalah sambutan penuh emosi dan tenaga terhadap salah satu kumpulan muzik paling ikonik sepanjang zaman, dibawakan khas buat peminat dari pelbagai generasi.
Malah ada penonton yang teruja apabila mendengar lagu-lagu kegemaran mereka turut bangun dan menari beramai-ramai. Ini membuktikan bahawa muzik tiada sempadan dan mampu menyatukan orang ramai dari pelbagai latar belakang.

“Saya gembira melihat penonton secara spontan bangun menari dan menyanyi bersama tatkala mendengar lagu “Night Fever” dan “Stayin’ Alive”. Apabila penonton turut menyanyi bersama dan suasana itu sekali gus menyebarkan keceriaan untuk tujuan yang mulia.
“Malam itu benar-benar menjadi malam penuh ‘Jive Talkin’’ yang sukar dilupakan. Nantikan persembahan kami yang seterusnya tidak lama lagi,” kata Pengarah Urusan Milestone Production, Dato’ Grace mengenai konsert yang turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok pada malam pertama.
Selain persembahan daripada Saturday Night Bee Gees, penonton turut dihiburkan oleh penyanyi Eryn Gani menerusi lagu “Woman In Love” dan “Guilty, duet dengan Ted.
Pemain perkusi, Ashley Choong Siew Mun yang pernah bekerja bersama legenda antarabangsa seperti Michael Jackson, Herbie Hancock, Mongo Santamaria dan Miles Davis, pula menambahkan dimensi ritma yang mempesona di pentas.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









