Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Aqo Studio
SELEPAS hampir 12 bulan bergelar duda terhangat selepas bercerai dengan bekas isteri, Nur Fazura Sharifuddin atau Fazura pada 13 September 2024, kini pelakon Fattah Amin akan kembali bergelar suami kepada penyanyi Amira Othman pada 14 September ini.
Tarikh tersebut, merupakan hari kelahiran Fattah yang ke-35 tahun dan sudah pasti Ahad ini bakal mencatat kegembiraan berganda kepada pemegang watak Awang dalam filem biopik sejarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu.
Fattah yang hadir pada majlis media single duet terbaharu “Rasa & Takdir” dendangan Amira dan adiknya, Irfan Haris di Hotel Imperial Lexis, pada 8 September 2025, mengumumkan yang beliau dan Amira akan melangkah ke alam rumah tangga.
“Kami ingin menukar status daripada rakan sekerja tak lama lagi kepada rakan serumah. Kunci ini adalah simbolik rumah saya dan approve confirm. Di kesempatan ini kami nak umumkan yang majlis pernikahan kami akan dilangsungkan pada 14 September 2025.
“Kita nak ajak semua menonton secara langsung majlis pernikahan kami, ‘Setulus Takdir’ di aplikasi Unifi TV 2.0 yang boleh ditonton secara percuma. Sekarang ini persiapan sedang berjalan, kami mohon doa daripada anda semua supaya majlis ini akan berjalan lancar,” ucap Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin.
Fattah turut berkongsi rahsia isi hatinya tatkala ditanya oleh hos, Uyaina, apa yang menyebabkan dia tertarik kepada Amira.
“Saya sukakan Amira kerana dia seorang wanita yang penuh dengan adab, sopan santun dan sangat baik,” kata Fattah tanpa ragu dan bersyukur kerana selepas lama menyimpan hubungan cintanya dengan Amira yang menjadi teka-teki orang ramai bakal berakhir ke jenjang pelamin.

Sementara itu, Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 32, turut melahirkan rasa lega kerana tidak perlu lagi mengelak soalan daripada pihak media setiap kali bertemu.
Memandangkan alam rumah tangga yang bakal ditempuhi mulai 14 September ini adalah yang pertama buatnya, Amira berasa kekok untuk bercerita lebih mendalam mengenai perkara tersebut kerana belum melaluinya.
Bagaimanapun Amira yakin pada bakal pasangan hidupnya dan percaya bahawa komunikasi yang baik adalah kunci kepada sebuah hubungan sihat dan harmoni.
“Nak cakap lebih, saya belum pernah melalui fasa perkahwinan. Takut nanti ada pula yang cakap, kahwin pun belum nak lebih-lebih pula. Bagi saya, dia memang seorang lelaki yang baik, malah juga seorang anak yang baik.
“Saya yakin kalau dia orang yang baik, semuanya boleh dibincangkan. Maksudnya kalau kita berbincang pun tak ada jadi marah-marah, kita bincang pun tak ada jadi macam memudaratkan,” katanya.
Bagi Amira, apa yang diperlukannya dalam sebuah hubungan adalah toleransi dan kebaikan, sambil menyerahkan segalanya kepada takdir dan doa.
“Itu saja yang saya rasa saya perlukanlah. Saya perlukan orang yang baik-baik supaya semuanya ada toleransi. Saya hanya mampu berdoa dan insya-Allah saya harap yang terbaiklah untuk saya dan semua,” katanya.
Lebih menarik lagi, momen romantis itu turut disaksikan ahli keluarga Amira, sahabat handai dan rakan media yang hadir sama ke majlis pelancaran tersebut.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









