Noryn Aziz tampil dengan lagu "Kaki Kiriku" yang berentak moderate dan rancak.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS mengumumkan akan menjayakan showcase istimewa, This Is Noryn Aziz yang bakal berlangsung di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur, pada 19 September ini, Noryn Aziz beri satu lagi hadiah jiwa buat peminat yang selama ini menyokong perjalanan kariernya.

Untuk kali ini, sesudah lama tidak mengeluarkan lagu yang berentak moderate dan rancak, Noryn muncul dengan single yang berjudul “Kaki Kiriku”.

Mendengar judul sahaja sudah berasa pelik, apatah lagi mendengar lagu yang dicipta oleh Reza Salleh bersama Hin Ee Jeng, manakala lirik oleh Reza Salleh. Kali terakhir, Noryn pernah muncul dengan single bertajuk “Kertas”, sebuah balada yang cukup menyentuh perasaan.

Noryn atau nama lengkapnya, Norazmahwati Abdul Azizi, 49, yang merupakan penyanyi jazz itu menganggap “Kaki Kiriku” merupakan sebuah karya segar yang menggabungkan elemen jazz klasik, joget tradisional dan sentuhan Parisian jazz.

“Single ini bukan sekadar lagu, tetapi sebuah misi kecil untuk mengangkat keindahan bahasa Melayu dan warisan budaya melalui muzik,” ujar Noryn tentang lagu yang diterbitkan oleh Moonshine Productions dan dihasilkan sepenuhnya oleh Hin Ee Jeng.

Malah, Noryn sendiri bertindak sebagai Eksekutif Produser bagi memastikan setiap perincian seiring dengan visinya.

Bakal menjayakan showcase istimewa pada 19 September ini.

Jelasnya, selaku penyanyi lagu “Kaki Kiriku”, ia membawa kelainan dengan penggunaan tongue twister Melayu yang terkenal:
“Kakakku kata kuku kakiku kaku,
Ku kikis kikis kuku kaki kiriku…”

“Ramai yang tersasul bila cuba lirik ini dan memang itu yang saya mahu! Dalam “Kaki Kiriku”, permainan lidah ini bukan sekadar hiburan, tapi penghargaan kepada keindahan bahasa Melayu.

“Saya mahu generasi baharu tahu bahawa bahasa kita bukan beban, sebaliknya ia menyeronokkan, penuh jenaka dan ritma. Elemen ini bukan sahaja menambah keunikan, malah menjadikan lagu ini mudah diingati, catchy dan mesra khalayak,” terang Noryn tentang keindahan single terbaharunya itu.

Manakala video muzik lagu tersebut yang diarah oleh Revo dengan sentuhan kreatif Patt Ibrahim itu dirakam di Limapulo Terrace, Tong Shin. Dalam video tersebut, Noryn tampil anggun dengan kebaya daripada Collaborate Store, Four Season & Calvin Thoo.

Bagi Noryn, kebaya bukan sekadar pakaian, tetapi lambang warisan, keanggunan dan kekuatan wanita Melayu. Ia melengkapkan konsep lagu yang meraikan identiti dan budaya Malaysia. Sebaliknya, “Kaki Kiriku” menjadi sebahagian daripada konsep album Noryn yang menampilkan gabungan unik.

“Lagu “Kaki Kiriku” bukan sekadar lagu tapi ia adalah perayaan bahasa, budaya, dan warisan kita. Bila lidah anda tersasul cuba sebut liriknya, itu tandanya lidah kita masih hidup dan terus belajar. Saya mahu anak-anak kita tahu, bahasa Melayu itu menyeronokkan. Dan dengan muzik, ia boleh terus bergema, segar dan relevan,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here