Image by Freepik

Oleh: Nury Kadir

Mari kita tanya hati, adakah Allah sudah menerima taubatku? Kita manusia biasa tidak pernah sunyi melakukan dosa. Bertaubat daripada dosa hukumnya adalah wajib dan ia perintah Allah. Ibn Manzur berkata, taubat ialah kembali kepada Allah daripada dosa, kembali kepada Allah sahaja atau kembali mentaati selepas melakukan dosa atau memberi maksud kembali daripada dosa.

Allah berfirman: Maksudnya: “…dan bertaubatlah kamu sekalian kepda Allah, wahai orang-orang beriman supaya kamu berjaya.” (surah al-Nur:31)

Perihal taubat dan tanda-tandanya telah diulas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di dalam beberapa artikel dengan menghimpunkan pendapat ulama berserta ayat al-Quran dan hadis. Perkongsian ilmu ini adalah bersumberkan maklumat dari www.muftiwp.gov.my.

Ibn Rajab di dalam Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam berpendapat, orang yang bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha serta memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan Allah SWT menerima taubat dirinya.

Hujah itu adalah bersandarkan dalil firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 48: maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).
Ibn Kathir berkata dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim, Allah SWT tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik. Sebaliknya Allah SWT mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya.

Allah itu Al-Ghaffar, Al-Ghafur yang mana kedua-dua sifat itu apabila diterjemahkan membawa maksud Yang Maha Pengampun. Allah sebut sifatNYa itu dalam surah Al-Hijr ayat 49.
نَبِّئْ عِبَادِىٓ أَنِّىٓ أَنَا ٱلْغَفُورُ ٱلرَّحِيمُ
Maksudnya : “ Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).”

Di dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman :
وَإِنِّى لَغَفَّارٌ لِّمَن تَابَ وَءَامَنَ وَعَمِلَ صَـٰلِحًا ثُمَّ ٱهْتَدَىٰ
Maksudnya : “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang-orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Toha : 82)

Sheikh Mustafa Al-Maraghi dalam Tafsir Al-Maraghi menyebut, pada ayat tersebut Allah berfirman Aku adalah pemilik dan penerima taubat bagi sesiapa yang bertaubat, mencabut dosa itu dan tidak lagi meninggalkan terus dosa tersebut,ikhlas di dalam beramal,menunaikan kewajipan yang telah Aku perintahkan dan meniggalkan maksiat serta beristiqamah sehinggalah dia mati.

Image by Freepik

Tanda-tanda taubat diterima

Walaupun Allah telah berjanji bahawa Dia Maha Pengampun, hati ini masih tertanya-tanya apa tandanya taubatku diterima? Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama’ menyebut bahawa taubat seseorang diterima dapat diketahui melalui beberapa tanda.

Menjaga pergaulan

Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik. Menjauhi rakan taulan yang jahat. Suka bergaul dengan orang-orang yang soleh.

Sikap dan akhlaknya berubah

Meninggalkan semua jenis maksiat yang pernah dilakukan. Mampu mengawal lidahnya daripada berkata dusta, ghibah dan kata-kata yang tidak penting baginya. Di dalam kehidupan sehariannya sudah tidak ada lagi rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.

Sentiasa beristighfar

Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada Allah. Sentiasa merasa seronok untuk melakukan ibadat dan berterusan, jiwanya menjadi dekat dan kasih dengan masjid.

Sibuk dengan akhirat

Hilang rasa bersenang-senangan dengan dunia daripada hatinya dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat. Percaya dan yakin dengan jaminan Allah SWT dalam soal rezeki, lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh Allah SWT.
Pun begitu, tanda-tanda itu bukanlah tiket untuk kita berhenti memohon ampun daripada Allah. Seseorang yang mengaku telah insaf akan sentiasa istiqamah, memohon keampunan kepada Allah SWT sepanjang hayatnya. Lihatlah Rasulullah SAW walaupun Allah telah mengampunkan segala dosanya namun Baginda sentiasa beristighfar.

Sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani: Maksudnya: Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali. (HR Muslim dan Abu Daud)

#Ikuti sambungan artikel akan datang apakah syarat-syarat taubat seseorang itu diterima Allah SWT?#

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here