Oleh: Nury Kadir
“Kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga.” Itu janji Rasulullah SAW bagi sesiapa yang bersabar kerana sering diganggu jin hingga menyebabkan hilang kewarasan.
Rasulullah SAW menyatakan janji itu dalam hadis:
Rasulullah SAW bersabda:
قَالَ عَطَاءُ بْنُ أَبِي رَبَاحٍ: قَالَ لِي ابْنُ عَبَّاسٍ: أَلاَ أُرِيكَ امْرَأَةً مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ؟ قُلْتُ: بَلَى، قَالَ: هَذِهِ المَرْأَةُ السَّوْدَاءُ، أَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَتْ: إِنِّي أُصْرَعُ، وَإِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي، قَالَ: «إِنْ شِئْتِ صَبَرْتِ وَلَكِ الجَنَّةُ، وَإِنْ شِئْتِ دَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُعَافِيَكِ» فَقَالَتْ: أَصْبِرُ، فَقَالَتْ: إِنِّي أَتَكَشَّفُ، فَادْعُ اللَّهَ لِي أَنْ لاَ أَتَكَشَّفَ، فَدَعَا لَهَا
Maksudnya: Atha’ bin Abi Rabah berkata: Ibn Abbas r.a. telah berkata kepadaku: “Adakah kamu mahu sekiranya aku tunjukkan kepadamu seorang wanita yang menjadi penghuni syurga?” Atha’ menjawab: “Sudah tentu aku ingin”. Ibn Abbas lalu berkata: “Wanita kulit hitam itu telah datang kepada Nabi SAW dan berkata: “Sesungguhnya aku sering kerasukan dan (ketika aku dirasuk), auratku sering terdedah. Doakanlah kepada Allah agar aku sembuh. Nabi SAW bersabda: Sekiranya kamu mahu, kamu bersabarlah dan kamu akan mendapat syurga. Dan jika kamu mahu, aku akan berdoa kepada Allah agar Dia menyembuhkanmu. Lalu wanita itu berkata: Aku (pilih untuk) bersabar. Wanita itu berkata lagi: Sesungguhnya auratku sering terbuka (ketika aku dirasuk), maka berdoalah kepada Allah agar auratku tidak terdedah.
Maka Nabi berdoa untuknya.” (HR al-Bukhari)
Menurut Abu al-Barra’ al-Ma’ani dalam Fath al-Haqq al-Mubin, “Bahawa rasukan jin terhadap manusia adalah termasuk dalam jenis ujian daripada Allah SWT. Allah SWT dengan kebijaksanaan-Nya menguji hamba-hamba-Nya dengan pelbagai jenis ujian dan rasukan adalah antaranya. Firman Allah: Dan kami menguji kamu dengan kejahatan dan kebaikan sebagai satu ujian, dan kepada kami kamu akan kembali. (Surah al-Anbiya’ ayat 35), maka kepada sesiapa yang diuji dengan demikian itu hendaklah ia bersabar dan mengharapkan ganjaran serta habuan daripada Allah di samping berusaha untuk mengubatinya dengan sebab-sebab yang disyariatkan…”
Sesiapa sahaja boleh diganggu jin jahat namun wanita lebih mudah mendapat gangguan tersebut. Berdasarkan pemerhatian, ada beberapa punca mengapa wanita mendapat gangguan antaranya, lemah semangat, keuzuran syar’ie, jin jatuh cinta, penyakit ‘ain, mengamalkan perkara-perkara syirik, khurafat dan tahyul.
Amalan yang perlu dilakukan utuk menghindari gangguan syaitan atau jin.
Ada beberapa tip yang dicadangkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan untuk mengelakkan gangguan jin.

Antaranya:
Ikhlas dalam beragama. Iblis berjanji kepada Allah untuk menyesat, mengkafir, memusyrik dan menjadikan umat Islam ahli neraka, iblis dengan sendirinya mengakui bahawa ia tidak dapat melaksanakan janji tersebut kepada satu golongan orang, iaitu mereka yang ikhlas sebagaimana dinyatakan Allah SWT dalam surah al-Hijr ayat 36-40:
قَالَ رَبِّ فَأَنْظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ (36) قَالَ فَإِنَّكَ مِنَ الْمُنْظَرِينَ (37) إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ (38) قَالَ رَبِّ بِمَا أَغْوَيْتَنِي لَأُزَيِّنَنَّ لَهُمْ فِي الْأَرْضِ وَلَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ (39) إِلَّا عِبَادَكَ مِنْهُمُ الْمُخْلَصِينَ
Maksudnya: “(Berkata iblis: Ya Rabbku! Kalau begitu maka beri tangguhlah kepadaku sampai hari dibangkitkannya manusia. (Allah berfirman, “Kalau begitu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang diberi tangguh). (sampai hari suatu waktu yang telah ditentukan.”) yaitu sampai tiupan sangkakala yang pertama. (Iblis berkata, “Ya Rabbku! Oleh sebab Engkau telah memutuskan bahwa aku sesat) artinya disebabkan Engkau telah menetapkan aku sesat; huruf ba pada lafal bimaa adalah bermakna qasam, sedangkan jawabnya ialah (pasti aku akan menjadikan mereka memandang baik di muka bumi ini) terhadap perbuatan-perbuatan maksiat (dan pasti aku akan menyesatkan mereka semuanya). (Kecuali hamba-hamba Engkau yang mukhlis di antara mereka”) yakni orang-orang yang beriman.”
Memperbanyakkan zikrullah kerana syaitan lari daripada orang yang berzikir.
Daripada al-Harith al-Asy’ari bahawa Rasulullah SAW bersabda: Maksudnya: “Dan aku menyuruh kalian agar berzikir kepada Allah kerana sesungguhnya itu seumpama seorang lelaki yang dikejar musuh-musuh melalui jejaknya dengan laju sampailah lelaki itu mendapatkan kubu pertahanan yang kukuh dan berjaya mempertahankan dirinya daripada musuh-musuhnya.
Begitulah seseorang hamba Allah, tidak akan mendapat perlindungan diri daripada syaitan kecuali dengan zikir kepada Allah.” (HR al-Tirmidzi).
#Ikuti sambungan artikel akan datang mengenai zikir-zikir yang boleh menghalang syaitan daripada menganggu #

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.









