Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI Misha Omar, berkongsi rasa teruja dan terharunya di Instagram apabila melihat wajahnya terpampang megah di papan iklan digital gergasi Spotify di Times Square, New York, Amerika Syarikat.
Misha atau nama sebenarnya Samihah @Aisah Omar, 43, berkata suasana itu merupakan saat yang tidak mungkin dapat beliau lupakan sepanjang hayat.
“Melihat wajah Kak Mitch terpampang di billboard Times Square, New York adalah saat yang tidak mungkin dapat Kak Mitch lupakan seumur hidup.
“Jauh di sudut hati, ini bukan hanya kejayaan Kak Mitch, tetapi kejayaan kita bersama. Terima kasih yang tidak terhingga kepada @spotify @ spotifysg dan @spotifymy kerana mengangkat suara wanita melalui kempen #SpotifyEQUAL ini,” kata Misha yang membahasakan dirinya sebagai Kak Mitch di aplikasi Instagram.

Tambah penyanyi lagu “Break” itu, penghargaan berprestij tersebut menajdi pengiktirafan dan simbol kekuatan kaum wanita dalam seni suara.
“Sebagai wanita, setiap suara membawa seribu kisah tentang kasih sayang, kekuatan dan kecekalan.
“Setiap kali kaki ini menginjak pentas, setiap bait lagu yang dinyanyikan, sebenarnya kita sedang membina jambatan untuk generasi wanita seterusnya bersinar lebih terang,” jelasnya.
Misha yang melonjak naik menerusi lagu “Bunga-Bunga Cinta” di awal kemunculannya dalam bidang seni suara itu percaya bahawa muzik bukan hanya kerjaya tetapi medium penyampaian yang mampu menyentuh jiwa pendengar.
“Selama 23 tahun ini, muzik adalah cara Kak Mitch menyampaikan cinta dan kekuatan kepada kalian. Momen bersejarah seperti ini menguatkan lagi kepercayaan Kak Mitch bahawa muzik bukan sekadar kerjaya, ia adalah legasi hati yang akan terus bersemi dan menyentuh jiwa seluruh pendengar.
“Terima kasih buat label Sony Music Malaysia yang memayungi Kak Mitch selama berkarya sebagai penyanyi. Tanpa kasih sayang, sokongan dan kepercayaan tidak mungkin kerjasama kita sampai ke usia 23 tahun bersama,” katanya.
Antara rakan artis yang mengucapkan tahniah kepada Misha di Instagram miliknya itu adalah Nourul Depp, Marsha Milan, Farouk Roman, Aisha Retno dan Elly Mazlein.
Kempen Spotify EQUAL merupakan inisiatif global bagi mengiktiraf dan memperkasa suara artis wanita dalam industri muzik.
Selain Misha, beberapa nama besar tanah air pernah menghiasi papan iklan digital ikonik itu termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Yuna, Dolla, Aina Abdul, Marsha Milan, Kaka Azraff, Layla Sania, Iman Troye, Aisha Retno dan Vanessa Reynauld.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









