Oleh: Khadijah Ibrahim
JADI ke tak jadi, konsert Hafiz Suip ni? Itulah persoalan yang bermain di minda peminat juara Akademi Fantasia musim ketujuh, tatkala rumors mengatakan konsert dia mungkin batal.
Baru-baru ini ada sidang media tentang konsert Hafiz dan penyanyi itu mengumumkan yang dia akan menjayakan konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip pada 1 November ini, di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Menurut Pengarah Urusan SAH Entertainment, Sufi Rashid selaku penganjur konsert tersebut berkata, spekulasi pembatalan konsert tersebut sebelum ini bukanlah sebahagian daripada strategi pemasaran.
Sebaliknya, Sufi menjelaskan pihaknya ketika itu sedang dalam proses menurunkan harga tiket dan justeru itu, platform jualan tiket ditutup hampir tiga minggu.
“Bagi penganjur, pembatalan adalah perkara paling mahu dielakkan. Kalau tangguh itu biasa, tapi batal ibarat mimpi ngeri. Setiap yang dirancang, mesti diteruskan.
“Kali ini, kami dapat tiga penaja termasuk isteri saya sendiri. Bila Hafiz cadangkan turunkan harga tiket, kami segera berbincang dan ambil masa tiga hingga empat hari untuk selesaikan dengan agensi penjualan tiket,” katanya menjelaskan tentang kekeliruan yang timbul sebelum ini.
Tambahnya, sokongan syarikat penaja daripada tiga syarikat lokal iaitu Bienz, Solustra Perfum dan Finura memberi ruang untuk pihaknya menurunkan harga tiket agar lebih ramai peminat dapat hadir.
“Ini juga sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan mereka bersama Hafiz sejak awal kerjaya. Konsert ini menjanjikan pengalaman penuh emosi dengan gabungan perjalanan hidup serta katalog lagu hit Hafiz sepanjang 16 tahun bergelar anak seni,” katanya.

Tambah Sufi, memandangkan harga tiket sudah diturunkan, maka 1,462 pembeli tiket awal sudah menerima pulangan separuh bayaran selepas harga baharu diumumkan.
“Pembeli seterusnya hanya perlu bayar pada kadar baharu yang lebih rendah. Bagaimanapun, bayaran untuk Hafiz tetap mengikut perjanjian kerana ini juga periuk nasinya,” kata Sufi.
Sementara itu, Hafiz berkata, keputusan menurunkan harga tiket dibuat selepas memikirkan kos ditanggung peminat dari luar Kuala Lumpur, termasuk dari Sabah, Sarawak dan Singapura.
“Ramai peminat tanya soal penginapan dan pengangkutan. Saya fikir lebih baik kami bantu dengan cara turunkan harga tiket. Saya amat berterima kasih kepada penaja kerana sudi bersama kami menjayakan usaha ini.
“Sudah tentu saya fikir kesan kepada pihak penganjur, tapi selepas dipersetujui bersama, kami ambil keputusan ini demi peminat,” katanya yang berbincang bersama penganjur sebelum keputusan dibuat.
Selain persembahan solo Hafiz, konsert ini turut menampilkan artis undangan istimewa iaitu Adira dan Umai atau Ummi Umairah Saiful Anuar, anak saudara kepada Dato’ Sri Siti Nurhaliza bagi memeriahkan lagi malam bersejarah tersebut.
Lebih 4,000 penonton dijangka membanjiri Mega Star Arena bagi menyaksikan konsert yang dianggap sebagai kemuncak perjalanan seni Hafiz Suip.
Tiket boleh didapati menerusi laman rasmi Ticketmelon. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi SAH Entertainment melalui e-mel [email protected].

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









