Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA tahun lalu, kemenangan “Imaginur” sebagai Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-33, menerima geran dalam bentuk Dana Kandungan Kreatif (DKK) bernilai RM500,000, tahun ini untuk FFM34, pemenang kategori Filem Terbaik akan menerima DKK bernilai RM1 juta.

Berita gembira itu diumumkan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pada majlis perasmian dan pengumuman Top 5 FFM 34 yang mana filem-filem yang tersenarai adalah “Blood Brothers: Bara Naga”, “Soloz Game of Life”, “Takluk: Lahad Datu”, “Reversi” dan “Babah”.

“Saya dengan sukacitanya mengumumkan pemenang kategori Filem Terbaik FFM34 akan menerima sokongan melalui DKK berjumlah RM1 juta. Ini bukan sekadar ganjaran kewangan, tetapi komitmen kerajaan untuk melihat karya unggul Malaysia terus melangkah jauh.

“Karya yang menang bukan hanya untuk dikenang, tetapi juga disokong untuk berkembang dan mencapai penonton global,” katanya.

Selain pemenang kategori Filem Terbaik mendapat ganjaran, pemenang bagi 27 kategori juga bakal menerima wang tunai RM5,000 dan trofi manakala pemenang Anugerah Khas bakal menerima RM10,000 dan trofi.

Sementara itu, pemberian hadiah berjumlah RM20,000 dalam bentuk sewaan dan penggunaan fasiliti FINAS disalurkan untuk tujuh kategori iaitu Pengarah Harapan, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Pengarah Terbaik, Dokumentari Terbaik, Filem Terbaik, serta Filem Pendek Terbaik.

Pemenang bagi kategori Filem Terbaik untuk FFM34 akan menerima Dana Kandungan Kreatif bernilai RM1 juta.

FFM34 yang bertemakan “Karya Kreatif, Sinema Dinamik”, turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Aksi & Lagak Ngeri Terbaik, selaras dengan piawaian antarabangsa bagi menghargai tenaga kreatif di balik tabir.

Bagi menghargai jasa tokoh seni yang telah mencorakkan perjalanan sinema tanah air, FINAS turut menganjurkan Program Tribute: Penghargaan kepada Tokoh- Tokoh Perfileman Veteran Negara sebagai program sisipan FFM34. Antaranya, Seniwati Datin Rosnani Jamil, Seniwati Ruminah Sidek, Dato’ Rahim Razali serta Othman Hafsham.

Malam Anugerah FFM34 akan berlangsung pada 1 November 2025, 8.30 malam di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, dan turut disiarkan secara langsung di TV2 RTM dengan menampilkan Datuk Afdlin Shauki dan Che Puan Sarimah Ibrahim sebagai hos utama anugerah yang juga boleh ditonton di YouTube FINAS.

Untuk FFM34, filem terbitan Skop Productions dan Primeworks Studios (PWS), “Blood Brothers: Bara Naga” mendominasi apabila meraih 13 pencalonan dalam acara pengiktirafan berprestij itu.

Filem arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra itu bakal memberi saingan dalam kategori Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik dan tiga pencalonan bagi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik.

Filem “Blood Brothers: Naga Bara” yang mencapai kutipan RM76 juta dalam tempoh 33 hari tayangan itu turut bersaing dalam kategori Aksi dan Lagak Ngeri Terbaik, Lakon Layar Terbaik, Sinematografi Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Penataan Seni Terbaik, Lagu Tema Terbaik dan Rekaan Kostum/Busana Terbaik.

Sementara itu, “Takluk: Lahad Datu” arahan Zulkarnain Azhar turut unggul dengan 12 pencalonan diikuti” Soloz: Game Of Life” (11), “Kahar: Kahar Kapla High Council” (10), “Reversi” (9) dan “Babah” (9).

Antara yang menarik perhatian pastinya kategori Pelakon Lelaki Terbaik dengan menyaksikan saingan antara Beto Kusyairy yang dicalonkan menerusi filem “Reversi”, Qi Razali (“Babah”), Sharnaaz Ahmad (“Blood Brothers: Bara Naga”), Aeril Zafrel (“Laknat”) dan Tony Eusoff (“Mencari Ramlee”).

Bagi calon kategori Pelakon Wanita Terbaik juga menampilkan saingan hebat antara Nabila Huda menerusi filem “Telaga Suriram”,
Datin Sofea Jane (“Mencari Ramlee”), Khatijah Tan (“Jangan Pandang Belakang, Aku Tahu Asal Usul Mu”), Maya Karin (“Telaga Suriram”) dan Sweet Qismina (“Babah”).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here