Gandingan Radja dan Wali Band pasti menggegarkan pentas pada 10 Januari 2026 nanti.

Oleh: Khadijah Ibrahim

LAGU-LAGU seperti “Cari Jodoh”, “Yank” dendangan Wali Band yang diterbitkan pada 2009, serta lagu “Jujur” (2004), mahupun “Benci Bilang Cinta” (2006) nyanyian Radja pasti mempunyai makna yang tersendiri kepada setiap pendengar.

Tidak dinafikan lagu-lagu dendangan dua kumpulan rock dari Indonesia itu sudah menjadi sebahagian daripada nostalgia dalam kehidupan kita dan sebab itu kita “Takkan Melupakanmu” seperti lagu dendangan Radja.

Menariknyam kedua-dua kumpulan ini yang masing-masing mempunyai kelompok peminat yang ramai di Malaysia, bakal digandingkan dalam satu konsert hebat iaitu Pentas RadjaWali Live in Malaysia.

Pentas RadjaWali akan berlangsung di Idea Live Arena, Petaling Jaya pada 10 Januari 2026 dan menjanjikan satu persembahan memikat dan memukau serta menggetarkan adrenalin peminat.

Lagu-lagu dendangan Wali Band menjadi sebahagian daripada momen indah dalam kehidupan peminat mereka.

Baik Radja mahupun Wali, masing-masing tidak sabar untuk turun menjejakkan kaki ke Kuala Lumpur berjumpa peminat yang mendokong dan menyokong perjalanan muzik mereka.

Sebelum ini, Radja yang ditubuhkan pada 2001 di Banjarmasin, Kalimantan Selatan dan dianggotai oleh Ian Kasela (vokalis utama), Moldy (gitar utama), Indra Riwayat (pemain bass) dan Seno Aji Wibowo (pemain dram), sudah pernah mengadakan pesembahan di sini.

“Malaysia selalu dekat dihati kami dan kami tidak pernah melupakan peminat di sini. Kami teruja apabila diundang mengadakan konsert di Malaysia.

“Ia satu impian yang menjadi kenyataan kerana selama ini kami sering menanti tawaran untuk beraksi di Malaysia. Akhirnya impian kami ditunaikan Tuhan.

“Sudah pasti kami akan memberikan persembahan terbaik kepada peminat yang hadir nanti. Diharapkan mereka segera beli tiket,” kata Radja.

Kumpulan Radja mempunyai kelompok peminat tersendiri di Malaysia.

Wali pula yang ditubuhkan pada 1999 berasal dari Ciputat, Tangerang Selatan, dianggotai oleh Faank (Apoyaan Faank/ Faank Wali- vokalis utama), Apoy (Aan Kurnia / Apoy Wali- pemain gitar utama & komposer utama kumpulan), Ovie (Muhammad Nunu Auliya – pemain keyboard) dan Tommy (Tomi Pratama- pemain drum).

Kumpulan muzik yang berteraskan genre pop, pop rock, pop religi, pop Melayu acapkali diundang mengadakan konsert di Malaysia.

“Syukur…Malaysia ibarat rumah kedua kami dan kehadiran kami sering disambut mesra oleh peminat. Mereka sering merindui kehadiran kami.

“Malah kami juga merindui layanan mesra yang diberikan serta makanan-makanannya yang enak dan menepati selera kami. Memang terbaik.

“Untuk konsert nanti, kami pasti akan tampilkan persembahan berbeza dari apa yang pernah ditampilkan sebelum ini. Jadi, Para Wali jangan lupa datang menonton nanti,” kata mereka.

Tiket-tiket untuk menyaksikan Pentas RadjaWali anjuran Impian Al Fateh Sdn. Bhd. & GIS Entertainment & Events serta anjuran bersama Infinity Love Creative Ventures (ILCV Events) ini dibahagikan mengikut kategori tertentu iaitu VIP – RM977, RW2 – RM477, RW3 – RM277, RW4 – RM177, RW5 & RW6 – RM477, RW7- RM377.

Tiket-tiket boleh dibeli menerusi Fantopia.io. Pembelian tiket juga kini lebih mudah menerusi skim ShopeePay!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here