Selepas mengadakan persembahan di empat kota di Indonesia, konsert Tur SAMA SAMA mahu beraksi di depan peminat mereka di Malaysia pula.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS selesai mengadakan persembahan di empat kota di Indonesia, kini Tur SAMA SAMA yang ‘dihidupkan’ lima pemuzik hebat iaitu Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf bakal singgah ke Malaysia pula.

Lima figura berpengaruh industri muzik Nusantara ini akan bertemu peminat di Malaysia sempena Tur SAMA SAMA di Idea Live Arena, Damansara pada jam 7.30 malam, 5 Disember ini.

“Khabar baiknya adalah kami akan melanjutkan perjalanan. Kita bakal pergi ke Malaysia,” ujar Tulus tentang Tur SAMA SAMA yang telah berlangsung di empat kota di Indonesia iaitu Bandung, Surabaya, Yogyakarta dan Bogor.

Sementara itu, Sal Priadi pula berkata, kesemua mereka sedang merealisasikan janji yang diucap dan berharap peminat di Malaysia bakal hadir menyokong persembahan mereka.

“Kami sangat tidak sabar untuk berkongsi persembahan dalam format kolaborasi yang tidak pernah kami lakukan di pentas selain Tur SAMA SAMA. Selamat menikmati format dinamik dari solo, duet, trio, hingga kuintet kami,” ujar Sal Priadi pula.

Pemuzik hebat, Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi dan Idgitaf bergabung tenaga menjayakan konsert Tur SAMA SAMA di Malaysia.

Tentu sahaja, Tur SAMA SAMA akan menjadi saksi para pemuzik yang terlibat tidak hanya membawakan lagu masing-masing, namun juga saling bertukar lagu dan mengeksplorasi berbagai susunan baharu yang dihasilkan khusus untuk tur ini.

Selaku penganjur bersama, PT Expo Indonesia Jaya (ExpoIndo), Tiga Dua Satu dan Thrive berbesar hati kerana dapat merealisasikan janji lima sekawan Tur SAMA SAMA untuk bertandang ke Malaysia.

“Tentu sahaja pengumuman Tur SAMA SAMA yang bakal diselenggarakan di Idea Live Arena menjadi sebuah mimpi besar yang hampir direalisasikan kami selaku penganjur setelah mendapat sambutan hangat di Indonesia,” ujar Udzir Harris dari Thrive.

Sementara itu, Bram Tulong dari Expoindo berkata, kunjungan Tulus, Kunto Aji, Dere, Sal Priadi, Idgitaf ke sini membawa tema kolaborasi tak biasa di Tur SAMA SAMA juga adalah janji kerana sedar apresiasi peminat terhadap mereka cukup besar.

Bagi wakil Tiga Dua Satu, Tiur Tobing berharap peminat di Malaysia tidak melepaskan peluang untuk menonton momen indah sebuah tur kolaborasi paling epik di tahun ini.

Tiket-tiket untuk Tur SAMA SAMA dijual pada harga RM228, terdapat 11 kategori tiket iaitu Bronze, Crystal, Silver, Diamond, Gold, Platinum, Ruby, Sapphire, Emerald, Emerald Extra dan Group Suite boleh dimiliki menerusi pembelian daripada BBO Events dan samasamatur.com.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here