Oleh: Khadijah Ibrahim
UNTUK sesebuah jenama program hiburan bertahan hingga musim ke-12 bukanlah perkara mudah. Namun kerana sokongan padu daripada penonton membuatkan Gegar Vaganza menjadi pertandingan nyanyian realiti nombor satu di kalangan rakyat Malaysia dan diteruskan lagi pada tahun ini.
Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu, Astro, Raqim Ahmad, Gegar Vaganza merupakan sebuah platform untuk penyanyi legenda dan yang sudah lama menghilang, menyalakan semula perjalanan muzik mereka.
“Sebenarnyanya kita nak gabung antara nostalgia dengan anak-anak muda sekarang menerusi lagu-lagu yang mereka dengar di media sosial. Saya percaya lagu dapat menyatukan keluarga sebab itulah penonton Gegar Vaganza adalah ibu bapa dan anak-anak mereka.

“Sasaran kami adalah untuk mengekalkan Gegar Vaganza musim ke-12 (GV12) ini sebagai program hiburan keluarga untuk musim ini. Daya tarikannya yang berterusan terletak pada gabungan sempurna antara nostalgia, pembaharuan dan emosi tulen, yang menyatukan kembali artis dan penonton melalui lagu-lagu abadi dan kenangan yang tidak lapuk dek zaman.
“Tahun ini, kami mengangkat legasi tersebut ke tahap yang lebih tinggi menerusi GV-Verse, sebuah dimensi baharu yang meraikan kepelbagaian serta kehebatan bakat serantau,” katanya.
Tambah Raqim, dengan barisan peserta yang hebat dan pelbagai ini, pihaknya mahu GV12 menjadi lebih daripada sekadar pertandingan. Ia tentang menghargai perjalanan yang telah mereka tempuhi dan membayangkan sejauh mana mereka boleh pergi selepas ini.
“Daripada legenda evergreen seperti Dato’ Elaine Kang dan Rahmat Ekamatra, hingga ke suara unik seperti Mark Adam, Shae dan Ruri Repvblik, setiap artis membawa kisah, warna suara dan semangat tersendiri ke pentas GV.
“Musim ini juga memperkenalkan kumpulan dinamik seperti Freshies dan Mendua, yang menampilkan keindahan harmoni dan kerjasama seperti yang dijanjikan oleh GV-Verse.
“Kami menjemput semua Vaganzers untuk menyertai universe ini bersama kami untuk mengimbau kenangan, menemui alunan baharu dan menyaksikan dunia muzik yang diolah semula dalam skala yang lebih besar daripada sebelumnya,” ujar Raqim mengenai program yang bakal bersiaran mulai 2 November 2025, setiap Ahad, jam 9 malam, secara langsung di Astro Ria (saluran 104).

Musim ini, Astro mempersembahkan 13 barisan peserta solo dan kumpulan dari Malaysia, Indonesia dan Singapura yang bakal menampilkan kehebatan seni serta menghidupkan kembali pentas dengan persembahan yang penuh pesona dan luar biasa.
Mewakili Malaysia, barisan peserta GV12 adalah penyanyi solo Dato’ Elaine Kang, Krisya, Mell Sakura, Korie, Rahmat Ekamatra, Mark Adam dan Nubhan, bersama duo pop Freshies (Ejie dan Shima) yang bakal menghidupkan semula pesona irama tempatan.
Dari Indonesia pula, pentas GV12 turut diserikan dengan kehadiran Shae, Ruri Repvblik serta trio Mendua (Pungky, Sasha & Diana) yang membawa warna muzik tersendiri.
Sementara itu, Singapura tampil dengan bangga menerusi penyertaan Iskandar Ismail, nama yang cukup sinonim dengan keunggulan vokal dan karisma. Menambah elemen misteri dan kejutan, SHY8 hadir sebagai peserta wildcard musim ini, menjanjikan sentuhan seni yang unik serta kejutan segar yang bakal mencetus fenomena baharu dalam GV-Verse.

Manakala untuk tugasan mengacara pentas, kali ini Nabil Ahmad berpasangan dengan Sherry Alhadad yang terkenal dengan kepetahan serta keserasian mereka dalam menghidupkan suasana GV setiap minggu.
Persembahan para peserta akan dinilai oleh juri tetap iaitu Dato’ Ramli MS, Hetty Koes Endang dan Datuk Syafinaz Selamat, yang akan terus memberikan penilaian dengan penuh kepakaran, ketelusan dan keikhlasan terhadap setiap persembahan peserta.
Format penjurian GV12 masih dikekalkan berdasarkan sistem pemarkahan 100% oleh barisan juri profesional. Peserta yang mendapat markah terendah pada segmen akhir akan disingkirkan.
Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000, naib juara pula akan meraih RM50,000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, keempat, kelima dan keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.
Kali ini penaja utama GV12 adalah CelcomDigi dengan kerjasama HONOR selaku Telefon Pintar Rasmi. Manakala, Adabi dan Uphamol masih menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Program yang akan berlangsung selama 12 minggu, secara langsung dari Auditorium MBSA Shah Alam itu boleh juga boleh distrim secara On Demand di aplikasi Astro GO dan sooka.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.









