Pada majlis pertunangan Ammar, keluarga Che Ta mengenakan pakaian warna kuning.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto ihsan: @aslvn

MESKIPUN berat untuk melepaskan anak bujangnya yang bakal memikul tanggungjawab sebagai seorang suami, pelakon Rozita Che Wan atau Che Ta perlu akur dengan lumrah kehidupan.

Anak sulung kesayangan Che Ta, Ammar Effendy Azuar Effendy, 29, baru saja mengikat tali pertunangan dengan Auni Ikhwan, 26, pada 25 Oktober lalu, di Lantera Venue, Shah Alam.

Meskipun Ammar hanya akan bergelar suami kepada Auni pada 26 Jun tahun hadapan, namun perasaan hiba seorang ibu tetap ada apabila terpaksa melepaskan anak sulungnya itu untuk melayari kehidupan bersama pasangannya nanti.

Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan anak bongsu, Aaisyah Dhia Rania di majlis pertunangan anak sulungnya.

“Rasa macam baru semalam saya melahirkan dia (Ammar) selepas menempuhi hidup berumah tangga hingga bergelar ibu tunggal. Boleh kata, dia banyak melihat suka duka saya menjalani kehidupan.

“Menjadi anak sulung hingga bergelar abang kepada dua adiknya, dia umpama pelindung kepada saya dan anak. Kini, detik untuk dia pula memulakan kehidupan sendiri bergelar tunangan dan seterusnya diijab kabul bersama bakal isteri kelak.

“Insya-Allah, semoga segala yang dirancang akan dipermudahkan. Kami termasuk keluarga bakal besan pun sepakat untuk tidak membiarkan lama mereka dalam fasa pertunangan,” katanya.

Selain Ammar, Che Ta mempunyai dua orang lagi anak iaitu Aniq Ezra dan Aaisyah Dhia Rana, anak menerusi perkahwinan keduanya dengan Zain Saidin.

Che Ta yang kini kembali aktif berlakon membintangi drama ‘Bahagia Yang Tertangguh’ arahan Osman Ali di samping Nad Zainal, Kamal Adli, Izzue Islam, Mimi Ernida dan Riz Amin berkata, walaupun sekadar majlis pertunangan, dia tetap melaksanakannya dengan meriah.

Che Ta bersama suami, Zain Saidin dan anak bongsu, Aaisyah Dhia Rania di majlis pertunangan anak sulungnya.

“Dari urusan tempahan pakaian, dulang pertunangan hingga ke lokasi majlis juga sudah pasti saya ambil tahu dan lunaskan apa yang perlu. Namun setiap input cadangan baik dari Ammar dan keluarga tunangnya tetap diutamakan.

“Macam permintaan keluarga sebelah sana juga dipenuhi termasuklah untuk tidak lagi berkongsi wajah tunangnya terlebih dahulu.

“Hal sebegini tentunya membabitkan dua keluarga yang masing-masing mengharapkan terbaik untuk Ammar dan Auni. Majlis kahwin pun beberapa bulan lagi. Pejam celik sudah dekat hari bahagia mereka,” katanya yang turut terbabit membintangi filem ‘Anak Mami Jarum Dalca Cinta Kerabu’ arahan Datuk Prof Dr A Razak Mohaideen.

Majlis pertunangan bertemakan warna pastel itu, dianjurkan secara sederhana dan ringkas dihadiri sekitar 500 orang tetamu terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat.

Ammar Effendy Azuar Effendy, anak sulung Che Ta kini bergelar tunangan kepada Auni Ikhwan.

Tatkala ditanya adakah selepas berkahwin, Ammar yang bertugas sebagai pegawai di sebuah bank dan Auni pula bekerja dalam bidang pemasaran akan sama-sama menetap di rumah agamnya di Kota Damansara, Che Ta sentiasa terbuka dalam hal itu.

“Masih terlalu awal untuk cakap hal itu. Tapi saya dan suami okey sahaja kalau Ammar dan Auni nak menetap sekali di rumah nanti selepas berkahwin.

“Kalau Ammar dan Auni okey, saya pun tak keberatan. Bertambah meriahlah nanti rumah itu. Macam sekarang adik lelaki yang kini bertugas sebagai pemandu peribadi saya pun duduk sekali dengan kami bersama anak dan isterinya.

“Jujur saya terbuka hal ini. Lagipun Ammar dan Auni masih dalam fasa awal pekerjaan mereka. Tapi jika sebaliknya pun, saya hormati privasi mereka yang sudah bergelar suami isteri,” katanya yang menggenakan persalinan rona kuning lembut, rekaan Ezuwan Ismail dan solekan oleh Otong Danish.

Dalam pada itu, kakak kepada Ayu Raudhah itu berharap Ammar dan tunangnya akan menempuhi fasa pertunangan dengan baik.

“Maklumlah fasa bertunang ini orang kata darah manis. Jadi saya harap, kedua mereka sama-sama menjaga apa yang perlu dijaga termasuk batas pergaulan.

“Kedua-duanya juga kena bijak mengawal emosi dan ego, serta menjaga hubungan baik dengan keluarga kedua-dua belah pihak. Bab komunikasi terbuka mengenai masa depan, kewangan, dan matlamat hidup adalah sangat penting untuk membina asas yang kukuh sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Wajah Auni akan didedahkan pada hari pernikahan nanti iaitu pada 26 Jun 2026.

“Saya harap Ammar juga boleh jadi pemimpin dan pelindung buat bakal isterinya. Samalah-samalah jaga diri dan saling melengkapi. Kalau boleh semua yang nak Kahwin, mahu ia terjadi sekali seumur hidup. Selebihnya usaha dan tawakal dalam membentuk ikatan yang mawaddah, sakinah dan warahmah,” katanya.

Mengalih bicara mengenai dunia lakonan, Che Ta akui begitu rindu untuk kembali berlakon.

“Sudah dua tahun juga saya tidak berlakon. Sebelum ini pun bukan tiada tawaran berlakon, cuma saya lebih tumpukan kepada cabang perniagaan selain sibuk buat ‘live’ Tik Tok jual barang termasuk kaftan.

“Bulan ini pun saya terpaksa korbankan komitmen buat ‘live’ Tik Tok sebab sudah mempertimbangkan kerja berlakon. Biasalah ada ‘kos melepas’’, tapi mujur ada staf membantu,” katanya.

Terdahulu pada majlis pertunangan itu, Hunny Madu diberi tanggungjawab mengemudi majlis. Malah bagi memperoleh keberkatan majlis, Pencetus Ummah Amin juga diundang membacakan doa.

Malah pereka fesyen otai, Man Kajang turut dipertanggungjawab menyiapkan dulang hantaran untuk kedua belah keluarga.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here